RSS

Category Archives: Markaz Tarbiyyah

Andai saya seorang Jeneral perang PAS

Kolum Kesatuan Fikrah adalah wadah untuk rakyat memperlihatkan kepelbagaian idea daripada lapisan-lapisan pemimpin PAS, dari yang veteran ke pemuda dalam isu-isu hangat yang membelungi negara kini.

Mewakili PAS Pusat ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Ketua Penerangan PAS Pusat Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, suara ulama diwakili oleh Ketua Penerangan Dewan Ulama Ustaz Nik Muhammad Zawawi bin Hj Salleh manakala suara pemuda diwakili Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi.

Jika anda mempunyai sebarang soalan yang ingin ditanyakan kepada Abang Mat, Ustaz Tuan, Ustaz Nik Zawawi dan Ustaz Nasrudin, sila email kepada hdaily.kesatuan.fikrah@gmail.com

Minggu ini, mereka berempat berbicara dengan soalan berikut:

Andai anda seorang Jeneral Perang PAS untuk PRU-13, apakah yang anda lakukan untuk menyiap-rapikan persediaan pasukan menghadapi perang. Apakah nilai yang terpenting untuk seorang jeneral?

Mohamad Sabu

Sebagai jeneral perang PRU13, saya akan pastikan di sudut jiwa, persediaan berada pada keyakinan paling tinggi dan juga segala peralatan yang secukupnya dapat dibekalkan.

Saya juga akan pastikan strategi dan taktik yang tepat digunakan untuk hadapi lawan. Selain itu, saya akan pastikan sumber kewangan yang cukup sebagai enjin penggerak, bukan punca membawa permasalahan dan meniup semangat nilai jihad yang tinggi di kalangan petugas.

Nilai terpenting seorang jeneral ialah beliau mesti yakin terhadap diri sendiri dan yakin dengan dasar dan matlamat perjuangan parti atau kumpulannya.

Tuan Ibrahim Tuan Man

Pilihanraya adalah peperangan di era kita. Ketentuan kemenangan dalam medan perang ialah kemenangan mengalahkan musuh, sedang kemenangan PRU diukur sejauh mana rakyat (pengundi) menyokong parti yang kita sertai.

Sebagai jeneral perang kita perlu melakukan serangan maklumat bagi membina dan mengubah rakyat untuk menyokong parti yang kita dokong.

Sebagai jeneral, penyusunan jentera perang mesti bersifat menyerang musuh, strategi bertahan atau sekadar menjawab serangan musuh tidak akan mencapai kejayaan yang dihasratkan.

Pada zaman dulu, strategi yang baik dan tepat tidak akan dimanfaatkan sekiranya jeneral tidak dapat memastikan sumber makanan dan bekalan senjata yang mencukupi untuk menghadapi tempoh peperangan.

Pada zaman ini, peperangan di PRU13 memerlukan dana. Seseorang jeneral harus berikhtiar mencari dana secukupnya senantiasa untuk memastikan kelicinan fungsi mesin perangnya.

Jeneral perlu juga memastikan seluruh sayap parti mesti memberi fokus kepada sasaran utama, bergerak dengan selari dalam satu arah. Dalam mencapai kemenangan asas utama ialah meletakkan sasaran yang perlu dicapai dengan kemampuan yang ada, dan memanfaatkan kelemahan musuh.

Segala kelemahan unit yang ada perlu dikenalpasti dan diperkemaskan segera oleh jeneral agar tidak ditembusi oleh musuh.

Seseorang jeneral tidak harus buntu bilamana menghadapi sebarang kekurangan. Segalanya – cuaca, masa, tempat, media lawan, lawan kita – boleh dimanfaatkan sebagai senjata perang menggunakan kebijaksaan.

Nasrudin Hassan

Dalam konteks negara kita yang mengamalkan sistem demokrasi berpilihanraya, maka istilah “perang” boleh saya takwilkan sebagai pertarungan atau persaingan mendepani lawan politik untuk memenangi pilihanraya.

Tentu sahaja apabila kita bertarung atau ber”perang” maka kita mendambakan kemenangan. Bertolak dari premis inilah kita mesti terlebih dahulu mempersiapkan pasukan kita dengan pra syarat kemenangan dalam 2 kategori kekuatan dan persediaan.

Kategori pertama ialah kekuatan dan persediaan dalaman.

a] Justeru kemenangan adalah keputusan dan anugerah mutlak daripada Allah swt. , selayaknya bagi setiap anggota pasukan bermula dari saff kepimpinannya hinggalah kepada ahli biasa membina hubungan baik dan erat dengan Allah swt Tuhan yang Maha Perkasa lagi Maha Bijak. [ Taqarrub Ilallah ]

b] Motivasi untuk memiliki jiwa yang optimis dan minda yang positif terhadap pahit getir perjuangan serta cabaran dan rintangan yang bakal ditempuh agar tidak putus asa, kecewa, resah dan gelisah.

c] Pemantapan Ilmu dan penguasaan manhaj perjuangan. Memahami dan menghayati matlamat, objektif dan hala tuju perjuangan yang didokong. Juga berupaya memiliki maklumat mengenai strategi dan gerak operasi pihak lawan.

Kategori kedua ialah kekuatan dan persediaan  luaran.

a] Keupayaan fizikal  [ jumlah tenaga siap bertugas ] dan material  [ jumlah dana terkumpul ] yang munasabah berbanding saiz medan pertarungan dan persaingan yang bakal ditempuh.

b] Penyatuan saff  perjuangan berteraskan semangat ukhuwwah fillah dan Pengukuhan organisasinya yang menepati standard piawaian sebuah pengurusan, pentadbiran dan disiplin atau akhlak berjamaah yang baik.

c] Memiliki jaringan kerja rasmi atau tidak dalam lapangan yang berbagai dengan semua pihak dan hubungan baik dengan pelbagai saluran untuk menerima maklumat dan menghantarnya pula kepada pihak yang memerlukan iaitu ahli dan pengundi atau masyarakat awam.

d] Merakyatkan pasukan [parti] , kepimpinan, ahli dan aktivitinya agar perjuangan ini rasa dimiliki oleh semua.

e] Membina minda negarawan pada anggota parti  [pemimpin dan ahli ] lantas keluar dari kepompong fikir sebagai pembangkang. Sebaliknya persiapkan mental , fizikal dan spiritual sebagai kerajaan menanti [government in waiting]

Sementara nilai terpenting bagi seorang general yang mengepalai pasukan atau parti ini ialah Kepimpinan  Yang Terarah iaitu kepimpinan yang bukan sahaja mampu mencipta gelombang perubahan tetapi berkeupayaan memimpin dan mengarah perubahan tersebut agar menepati matlamat, objektif  dan road map perjuangan.

Nik Zawawi Salleh

Sebagai jeneral, saya akan fokus kepada persiapan terpenting iaitu jentera kempen yang hebat dan berwibawa untuk menarik simpati pengundi.

Pada masa yang sama, saya akan memastikan pasukan saya mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk membiayai perang PRU13.

Saya juga akan mengeluarkan pelan taktik menyerang terakhir yang bijak dan memastikan maklumat rahsia terakhir digunakan secara bijak secara tepat dari segi masanya untuk menumbangkan musuh.

Nilai terpenting yang perlu ada pada seseorang general pada PRU- 13 ialah kebijaksaannya untuk menarik musuh dan bukan semata-matanya menyerang musuh.sumber:harakahdaily

 

JANGAN MERAJUK WAHAI DA’IE

Hidup ini menuntut mujahadah berterusan, setiap hari pasti ada sahaja perkara yang perlu diusahakan. Seringkas bangun pagi memerlukan kekuatan menolak keseronokan tidur yang lena, sehinggalah keteguhan mendirikan Islam dalam diri setiap insan. Inilah kehidupan, tidak lari dari, suka duka, perit jerih, dan susah payah. Apatah lagi bagi tiap jiwa yang dalam sedar berikrar menyerahkan diri mereka kepada Allah, menggelar diri sebagai muharrik. Mereka yang berada di dalam kategori tersebut mesti lebih lagi menunjukkan kesungguhan dalam tiap perkara, mengelak fitnah menimpa.

Begitupun hal itu pasti tidak akan dapat dielakkan, usah kita lupa bahawa hati-hati itu ada pemegangnya, yang mengawal waktu bersungguh dan berakhir dengan waktu lelah. Jika kita terkandas memandu keghairahan semangat dan azam, kita akan kecewa apabila usaha tidak membuahkan hasil seperti yang dijangka. Tetapi ingatlah, tidak pernah susah bermakna tidak sempurna, tidak pernah merasa payah bermakna tidak normal. Allah memberikan amanah mengikut kesanggupan hambaNya, natijahnya pula di bawah takdirNya. Bak bidalan, ‘menabur benih di bumi, hasilnya dari Ilahi’.

Lalu di saat hati sedang kabur, lemah dan gelisah, carilah hikmah apapun yang ditenun di dalam lembar Al Quran. Rupa-rupanya kisah Nabi Yunus A.S yang jarang dijadikan bahan sebutan, memberi seribu pengertian dalam kehidupan seorang da’ie.

Nabi Yunus menyeru pada kaumnya

Sembahlah Allah Yang Maha Esa

Tinggallah berhala yang tidak bernyawa

Jauhi perbuatan yang sia-sia


Seruan Nabi tidak diterima

Nabi diejek dan Nabi dihina

Baginda tidak berputus asa

Walau dicaci walau dihina

 

Akhirnya Nabi merasa hampa

Umatnya masih menderhaka

Lalu dia pergi membawa hati

Ke tepi pantai seorang diri


Kapal pedagang Baginda menumpang

Membawa diri ke rantau orang

Malangnya laut bergelombang

Hampir karam ditengah lautan


Bila diundi Nabi merelakan

Terjun ke laut penuh bergelora

Baginda ditelan ke perut Ikan Nun

Gelap gelita tidak terkira


Sedarlah Baginda akan silapnya

Ditarbiyyah Allah sebegitu rupa

Menangislah Nabi penuh duka

Memohon Ampun dari Tuhannya

 

Inilah Dai’e Rabbani, tidak takut menghadapi salah, tetapi lekas kembali kepada Allah yang Maha Pemurah. Memujuk hati mencari hikmah mengakui kelemahan dirii. Berbekal ibadat di kala senang, menjadi keselamatan di waktu susah. Tabah dan sabar dalam berdakwah tanpa mengira ketidakberhasilan hidayah, kerana setiap langkah di atas jalan ini adalah kejayaan.

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman” – Surah Ali ‘Imran:139, Al Quranul Karim

TARBAWI.MY

 

Sultan Muhammad Al-Fateh

 

60 Tahun PAS Menyelamatkan Aqidah Ummah

PAS istiqamah untuk membersihkan dan mempertahankan akidah. Kerana ini adalah dasar perjuangan PAS sejak pada tahun 1951. Dasar Islam di dalam Perlembagaan PAS fasa 3 tidak pernah diubah walaupun kepimpinannya bertukar, samaada dalam suasana menang atau kalah. Malahan penubuhan Pas, apabila sekelompok ulamak di dalam Umno yang tidak berpuas hati dengan sikap Umno mengenai isu Natrah pada tahun 1950.

Sejarah perjuangan PAS untuk mempertahankan akidah di negara ini terpaksa membayar harga yang begitu mahal. Sewaktu PAS mempertahankan akidah umat, Umno bukan sahaja tidak membantu malahan memfitnah Pas sehingga ditangkap ISA. Di antara jasa Pas kepada umat ialah :

Memberi penjelasan kepada masyarakat mengenai batas-batas Iman dan kufur sehingga masyarakat tidak berani menghina hukum Islam.
Tidak ada lagi masyarakat yang menghina Islam seperti hukum Islam hanya sesuai di zaman unta, jika laksanakan hukum Islam boleh membawa huru hara.
PAS telah menekankan pendidikan akidah kepada ummah di negara ini melalui kuliah-kuliah dan ceramah umum.
PAS sudah tiga kali membawa undang undang Persendirian di Parlimen sejak 1990 oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang untuk mengawal murtad. Malangnya usul yang memerlukan cadangan daripada anggota kabinet tidak diangkat walaupun sidang Parlimen selesai.
Ketika isu murtad Noraishah Bukhari, Lina Joy, Hartina Kamarudin maka Pas ke depan melawan isu gejala murtad pada ketika itu. Di manakah Umno dan NGO Umno?
Penyokong PAS demo membantah seminar untuk membenarkan orang Islam murtad di Pulau Pinang dan Johor. Malangnya seorang menteri Umno mengatakan ini tindakan bodoh.

Ini semua membuktikan bahawa Pas konsisten untuk menyelamatkan akidah ia bukan agenda bermusim. Kita harap Umno berubah sikap selepas ini terhadap Islam dan hukum Islam. Perlu diingat bahawa murtad bukan sahaja menukar agama, tetapi juga boleh berlaku jika menghina hukum Allah.

Ustaz Idris Ahmad
AJK Kerja PAS Pusat merangkap Pengerusi Lujnah Tarbiah

 

KEUTAMAAN & KELEBIHAN 1-10 ZULHIJJAH


Bulan Zulhijjah menghampiri kita. Pada sepuluh hari pertamanya terdapat banyak kemuliaan dan keutamaan. Hari-hari tersebut disediakan oleh Allah sebagai musim ketaatan dan kesempatan beramal soleh. Maka seorang Muslim wajarlah ia memperhatikan hikmah yang terkandung dalam bulan tersebut, memanfaatkan dengan melaksanakan pelbagai ibadah yang disyariatkan, menjaga perkataan dan amal yang soleh agar hatinya menjadi dekat kepada Allah Taala di mana hal tersebut dapat membantunya dalam menghadapi kehidupan ini dengan jiwa besar dan semangat yang berkobar. 10 hari pertama di bulan Zulhijjah merupakan hari-hari yang sangat mulia dan penuh barakah. Bukti kemuliaan ini, Allah Taala bersumpah dengannya dalam Al Quran Al Karim, “Demi fajar, dan malam yang sepuluh” Al Fajr:1-2

Imam At Tobari menafsirkan “Wa layaalin ‘asr” (Dan malam yang sepuluh) sebagai malam-malam sepuluh Zulhijjah berdasarkan kesepakatan hujjah dari ahli ta’wil (ahli tafsir). (rujuk Jami’ Al Bayan fi Ta’wil Al Qur’an:7/514)

Penafsiran ini dikuatkan oleh Ibnu Kathir dalam menafsirkan ayat ini, “Dan malam-malam yang sepuluh, maksudnya, sepuluh Zulhijjah sebagaimana yang disebutkan oleh Ibnu Abbas, Ibnu Zubair, Mujahid, dan lebih dari satu ulama salaf dan khalaf”. (Ibnu Kathir:4/535)

Kemuliaan sepuluh hari ini juga disebutkan dalam surah Al Hajj dengan perintah agar memperbanyak menyebut nama Allah pada hari-hari tersebut. Allah Taala berfirman, maksudnya, “Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki, dan mengenderai unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh, supaya mereka menyaksikan berbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang telah ditentukan atas rezeki yang Allah telah berikan kepada mereka berupa binatang ternak”. (Al Hajj:27-28)

Imam Ibnu Kathir dalam menafsirkan ayat ini dengan menukilkan riwayat dari Ibnu Abbas, “Al Ayyam Al Ma’lumat (hari-hari yang ditentukan) adalah hari-hari yang sepuluh” (Tafsir Ibnu Kathir:3/239). Maka dapat disimpulkan bahawa keutamaan dan kemuliaan hari-hari yang sepuluh dari Zulhijjah telah datang secara jelas dalam Al Quran Al Karim yang dinamakan dengan Ayyam Ma’lumat karena keutamaannya dan kedudukannya yang mulia.

Manakala dari hadis, terdapat keterangan yang menunjukkan keutamaan dan kemuliaan sepuluh hari pertama dari bulan Zulhijjah ini, di antaranya sabda Nabi S.A.W yang bermaksud, “Tidak ada satu amal soleh yang lebih dicintai oleh Allah melebihi amal soleh yang dilakukan pada hari-hari ini (iaitu 10 hari pertama bulan Zulhijjah)”. Para sahabat bertanya, “Tidak pula jihad di jalan Allah? Nabi S.A.W, “Tidak pula jihad di jalan Allah, kecuali orang yang berangkat jihad dengan jiwa dan hartanya namun tidak ada yang kembali satupun” (Sunan Abi Daud dan Ibnu Majah).

Dianjurkan ke atas orang Islam pada hari-hari tersebut untuk bersungguh-sungguh dalam ibadahnya, di antaranya solat, membaca Al Quran, zikruLlah, memperbanyak doa, membantu orang-orang yang kesusahan, menyantuni orang miskin, memperbaharui janji kepada Allah Taala. Masih ada satu amalan lagi yang utama pada hari-hari tersebut, iaitu berpuasa sunnah di dalamnya.

Terdapat dalam Sunan Abi Daud dan lainnya menerangkan bahawa Rasulullah S.A.W berpuasa pada 9 Dzulhijjah (rujuk Sunan Abi Daud no.2437)

Manakala Syeikh Muhammad bin Soleh Al Munajjid berkata, “Di antara musim ketaatan yang agung adalah sepuluh hari pertama dari bulan Zulhijjah, yang telah Allah muliakan atas hari-hari lainnya selama setahun dan hal ini diperkuat dengan beberapa bukti di bawah ini :

1. Allah Taala telah bersumpah dengannya. Dan bersumpahnya Allah dengan sesuatu menjadi dalil besarnya manfaat. Allah Taala berfirman bermaksud, “Demi fajar, dan malam yang sepuluh” (Al Fajr:1-2). Ibnu Abbas, Ibnu Al Zubair, Mujahid, dan beberapa ulama salaf dan khalaf berkata bahawa ia adalah sepuluh hari pertama Zilhijjah. Ibnu Kathir membenarkan pendapat ini. (rujuk tafsir Ibni Kathir:8/413)

2. Sesungguhnya Nabi S.A.W pernah bersaksi bahawa hari-hari tersebut adalah seutama-utamanya hari-hari dunia sebagaimana yang telah disebutkan di dalam hadis shahih.

3. Rasulullah S.A.W menganjurkan untuk memperbanyakkan amal solih di dalamnya. Sesungguhnya kemuliaannya mampu diperoleh oleh setiap penduduk negeri, sementara keutamaan tempat hanya dimiliki oleh jama’ah haji di Baitil Haram.

4. Rasulullah S.A.W juga memerintahkan untuk memperbanyakkan tasbih, tahmid, dan takbir pada sepuluh hari tersebut. Dari Ibnu Umar R.A bahawa Nabi S.A.W bersabda maksudnya, “Tidak ada hari-hari yang lebih agung di sisi Allah dan amal solih di dalamnya lebih dicintai olehNya daripada hari yang sepuluh (sepuluh hari pertama dari Zulhijjah), perbanyaklah tahlil, takbir, dan tahmid di dalamnya” (Musnad Imam Ahmad 7/224, Syaikh Ahmad Syakir mensahihkan isnadnya).

5. Di dalamnya terdapat Hari ‘Arafah. Hari ‘Arafah adalah hari yang disaksikan yang di dalamnya Allah menyempurnakan ajaran deenNya sementara puasanya akan menghapuskan dosa-dosa selama dua tahun.

6. Di dalamnya terdapat ibadah ‘udhiyyah (berkorban) dan haji”.

Dalam sepuluh hari ini juga terdapat yaumun nahar (hari penyembelihan) yang secara umum menjadi hari teragung dalam setahun. Hari tersebut adalah haji besar yang berkumpul berbagai ketaatan dan amal ibadah padanya yang tidak terkumpul pada hari-hari selainnya. Sesungguhnya siapa yang mendapatkan sepuluh hari bulan Zulhijjah merupakan bahagian dari nikmat Allah yang besar atasnya. Hanya orang-orang soleh yang bersegera kepada kebaikan segera untuk menghormatinya dengan semestinya. Dan kewajiban seorang Muslim adalah merasakan nikmat ini, memanfaatkan kesempatan emas ini dengan memberikan perhatian yang lebih, dan menundukkan dirinya menjalankan ketaatan. Sesungguhnya di antara kurnia Allah Taala atas hambaNya adalah menyediakan banyak jalan berbuat baik dan meragamkan kepelbagaian bentuk ketaatan agar semangat seorang Muslim sentiasa thabat, tetap istiqamah menjalankan ibadah kepada Allah.

SUMBER: tarbawi.net

 

TIADA TAKTIK KOTOR DALAM MENCAPAI KEMENANGAN


Tindakan negatif dilakukan oleh generasi umat Islam hari ini bagi mencapai sesuatu impian untuk berjaya dalam cita-cita hidupnya, walaupun mungkin matlamat kejayaannya itu menyanggah cara atau teknik apa yang ingin dicapainya, bukanlah satu hal yang dibenarkan dalam Islam. Justeru Islam datang memberi teguran menerusi satu pendekatan yang amat popular dalam Usul Fiqh “matlamat tidak menghalalkan cara”. Kerakusan individu tertentu hari ini untuk berjaya sama ada dalam bidang politik, pemiagaan, keusahawanan, korporat dan sebagainya dengan menjatuhkan pihak lain telah menjadi fenomena yang menggusarkan banyak pihak Ini akibat tidak menyandarkan diri mereka dengan elemen keagamaan yang menjadi teras, pelindung daripada gejala yang haram.

“Matlamat tidak menghalalkan cara” adalah satu kaedah yang diperkenalkan oleh ilmuan-ilmuan mazhab sejak beberapa abad lalu, jadi ia bukan perkara yang tersirat, malah telah tersurat dalam lembaran-lembaran kitab agama yang mesti diketahui dan dipelajari oleh segenap individu Muslim. Kegagalan untuk memahami dan beramal dengannya adalah satu kesalahan yang akan dipertanggungjawab pada hari Kiamat.

Maka mana-mana individu Muslim yang tidak bersungguh untuk mendalami serta memahami aspek keagamaan yang wajib ke atasnya, maka dibimbangi termasuk himpunan golongan yang fasik yang akhirnya menghuni neraka Allah. Perkara ini telah ditegaskan Allah menerusi ayat 24 surah At Taubah maksudnya, “Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)”.

Pada hari ini ketika ramai individu Muslim tidak berusaha menghubungkan diri dengan ilmu-ilmu agama, maka mereka akan terdedah kepada bahaya yang disebut oleh Baginda menerusi hadisnya yang diriwayatkan oleh At Tabarani daripada Abi Bakrah maksudnya, “Jadilah kamu seorang yang alim, atau yang suka belajar, atau yang suka mendengar (ilmu-ilmu agama), atau menjadi golongan yang cinta kepada tiga golongan di atas, tetapi jangan kamu jadi golongan kelima”.

Individu Muslim yang tidak suka duduk dalam majlis ilmu akan sentiasa terbabit dalam kesalahan dan percanggahan ketara terhadap ajaran agama. Sudahlah hidupnya tidak berbakti atau berjasa kepada Islam melalui program dakwah, malah suka pula buat perkara-perkara yang boleh merosakkan gambaran Islam sebenar. Bagaimana boleh memperolehi syafaat Nabi Muhammad S.A.W pada hari kiamat.

Oleh sebab itu, ramai individu terjebak pada perkara matlamat tidak menghalalkan cara. Mungkin kita boleh bincangkan beberapa kategori perkara di atas dalam kesempatan yang terbatas ini.

1. Terlibat dalam rasuah untuk mendapatkan sesuatu projek

Hal ini berlaku dalam masyarakat umat Islam hari ini yang mengambil jalan pintas untuk berjaya dalam hidup, memberi dan menerima rasuah adalah satu perkara biasa pada hari ini, siapa yang beri lebih, maka dia berjaya mendapatkan tender dan sebagainya, ia bukan lagi suatu perkara yang boleh disembunyikan, banyak pihak bercakap mengenainya hatta di kedai-kedai kopi, namun tiada perasaan sensitiviti dalam diri umat Islam kerana jauh daripada nilai agama.

2. Mengekalkan kuasa dengan menipu

Ia biasa berlaku dalam proses pilihan raya dengan mengimport para pengundi hantu untuk memenangkan kawasan individu-individu penting dan pelbagai pendekatan lain yang dikira perlu dan munasabah. Tindakan seumpama itu boleh dianggap sebagai tindakan matlamat tidak menghalalkan cara.

3. Jatuh menjatuh untuk meraih kedudukan tertinggi

Ia juga sudah menjadi perkara biasa hingga dapat diterima dalam masyarakat, bukan sahaja masyarakat bandaran, malah masyarakat yang menghuni kawasan kampung dan pedalaman. Fitnah sudah menjadi darah daging sesetengah individu Muslim, mereka-reka lakonan yang dirakam dalam cakera padat dan disebarkan kepada umum adalah bertujuan untuk mematikan karier seseorang dan menjatuhkannya, malah mengaib serta memalukan orang lain sudah menjadi amalan biasa muslim hari ini.

4. Menipu untuk dapat kerja/ jawatan lebih baik

Ia boleh disifatkan kepada seorang pelajar peringkat universiti, di mana dia melakukan penipuan dalam menjawab soalan peperiksaan dengan meniru jawapan yang terselit dalam bajunya, hingga meraih kejayaan cemerlang dan ditawarkan pekerjaan dengan gaji yang lumayan. Sedangkan matlamamya untuk berjaya tetap diraihnya, tetapi cara untuk berjaya dengan meniru dalam peperiksaan adalah salah, selagi mana dia mendapat pendapatan dengan penipuan, selagi itulah dia makan sumber yang haram. Tidak kurang juga yang menipu agar dinaikkan pangkat oleh majikan, walaupun majikan tidak tahu, akan tetapi perbuataan penipuan itu boleh mengakibatkan rugi di akhirat.

5. Tutup kes dengan membunuh

Terdapat juga individu Muslim yang sanggup melakukan jenayah membunuh musuhnya kerana mahu menutup sesuatu kes, ia juga termasuk tintakan matlamat tidak menghalalkan cara. Apabila pandai berpolitik lebih sedikit, besar kemungkinan dia terlepas daripada hukuman, inilah adat dunia pada hari ini yang kuat terselamat dan lemah teraniaya.

6. Pecah amanah kerana mahu cepat kaya

Terdapat individu Muslim dengan gelaran haji kemudian diamanahkan oleh sesebuah syarikat seperti Tabung Haji, tetapi dia menyalah-gunakan kepercayaan yang telah diberikan ke atasnya dengan melakukan pecah amanah kerana mahu menjadi orang yang paling kaya tetapi dengan cara yang menyanggah matlamat ajaran agama Islam.

7. Ragut untuk jadi senang tetapi menyalahi agama

Berapa ramai di kalangan individu Muslim yang mengambil jalan mudah meragut atau mengambil hak orang lain dengan cara paksa hingga boleh mengakibatkan mangsa mati di tempat kejadian dan sebagainya. Walaupun matlamat peragut untuk senang, tetapi dia telah melakukan satu cara yang diharamkan agama, di akhirat nanti dia akan ditanya di hadapan mahkamah Allah di Padang Mahsyar.

8. Tipu untuk meraih sesuatu habuan dunia

Ia kebanyakannya melibatkan orang kahwin dua atau lebih, mereka sanggup melakukan penipuan dengan alsan tipu dalam perkara ini adalah sunnat, mereka berpegang kepada lagu ‘Madu Tiga’ iaitu mesti pandai membohong, mesti pandai temberang…kesemua itu berlaku akibat tidak belajar ilmu agama.

9. Membunuh ayah untuk segera mendapatkan harta pusaka

Terdapat anak-anak yang tidak sabar untuk mendapatkan harta pusaka, iaitu anak-anak yang tidak pernah diberikan pendidikan agama, ada di kalangan mereka ini mengupah orang agar melanggar ayahnya agar segera proses pengebumian dijalankan dan pembahagian harta di kalangan anak-anak.

10. Berlakon watak baik dalam filem, tapi sebenarnya tidak begitu

Kebanyakan para artis melakonkan watak baik seperti pendakwah, ustazah dan sebagainya dalam sesebuah filem, bertujuan untuk menyedarkan para penonton, tetapi pada hakikatnya di luar filem terkenal sebagai artis paling seksi, penderhaka kepada ibu bapa kandung, sedangkan tindakan itu tidak disukai Allah SWT seperti yang ditegaskan-Nya menemsi ayat 3 surah As Saf yang bermaksud, “Besar kemarahan Allah terhadap apa yang kamu cakap tetapi tidak dilakukan”.

Dan bermacam-macam lagi bentuk pendekatan tentang matlamat tidak menghalalkan cara, apa pun apabila seseorang itu menerima Islam, maka Islam akan membimbingnya ke jalan yang benar dan menyelamatkan pada hari kiamat. Dalam kesempatan yang terbatas ini, penulis ingin mengakhiri tulisan ini dengan mengajak para pembaca sekalian untuk memerhatikan senikata lagu yang kiranya boleh menyentuh sensitiviti pembaca jika Al-Quran dan Hadis tidak mendapat tempat di hati anda sekalian, iaitu lagu ‘Tak Seindah Wajah’ yang dinyanyikan oleh Tan Sri SM Salim :

Kusangka aur di pinggir tebing
Kiranya tebu di pinggir bibir
Kusangka jujur pancaran batin
Rupanya palsu penghias zahir

Kukira hatijiwa nurani
Suci seindah wajah terbayang
Kukira puji seikhlas budi
Kulupa lidah tidak bertulang

Di manis gula semut binasa
Kail berduri bersalut umpan
Di manis kata insan terlena
Kerana budi hamba terkorban

Inikah dia lakonan hidup
Di pentas dunia insan berpura
Tipu dan daya pencapai maksud
Budi dan harta merangkung noda

SUMBER: TARBAWI.NET

 

Nasihat Imam Hassan al Banna


” Peranan kita(Harakah Islamiyyah) secara umum ialah tegak berdiri menghadapi serangan arus taghut yang terdiri dari tamadun kebendaan, peradaban yang mementingkan kemewahan dan nafsu syahwat, yang telah meratah bangsa-bangsa umat Islam. Tamadun ini telah menjauhkan umat dari Kepimpinan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam dan petunjuk al-Quran, ia telah menghalang alam jagat ini daripada cahaya petunjuk dan menyebabkan umat Islam mundur terkebelakang beratus-ratus tahun.

Peranan ini mestilah berterusan sehinggalah bumi ini bebas dari belenggunya dan bangsa kita terselamat dari balanya. Dan peranan kita bukanlah terhad di sini sahaja, malah kita akan menghadapi dan memerangai peradaban tersebut di bumi tempat kelahirannya sehingga seluruh alam. Disaat inilah tercapai cita-cita seorang muslim, maka di kala itu tiada lagi fitnah ke atas agama ini dan jadilah agama ini semata-mata bagi Allah.

Dipetik dari buku Apa Erti Saya Menganut Islam m/s 128