RSS

Monthly Archives: March 2012

Kenyataan Media Daripada Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang

22/3/2012 (Khamis) bersamaan dengan  29/Rabiul Akhir/ 1433 Hijarh..

Datuk Musa Sheikh Abdul Kadir (Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang) dicabar menjawap skandal 1072 lot kedai di Bazar Perdana, Bandar Perda, Bukit Mertajam Yang terbengkalai.

1)      Jika Benar Datuk Musa Sheikh Abdul Kadir mahu membantu Datuk Seri Najib Abdul Razak, beliau wajar mendedahkan penyelewangan disebalik ‘Projek Gajah Putih’ Bazaar Perdana Perda dekat Bukit Mertajam.

2)      Beliau merupakan sebahagian daripada pemaju projek berkenaan iaitu ‘Asiana’.

3)      Bagi Kami daripada Lajnah Pengguna & Alam Sekitar (LPAS) Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang menyatakan bahawa projek ini adalah symbol pengkhianatan dan penderhakaan terhadap lebih lapan ratus (800) pembeli lot Kedai disitu. Kerana Mereka tidak mempunyai hak untuk berniaga di bangunan yang terbengkalai.

4)      Datuk Musa Sheikh Abdul Kadir mempunyai 2 pilihan:

i)Berdiam diri dan teruskan sandiwara menipu Melayu yang kononnya UMNO/BN yang hanya terjamin membela Melayu di Pulau Pinang.

ii)Ataupun dedahkan perkara sebenarnya di sebalik skandal ini kalau Datuk Musa Sheikh Abdul Kadir betul-betul niat beliau ikhlas untuk perjuangkan nasib orang Melayu di Pulau Pinang…jangan hanya lepaskan batuk di tangga sahaja..

 

Saudara Dzulfahmi Bin Bakar

(Timbalan Pengerusi Lajnah Pengguna & Alam Sekitar ,Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang).

 

Bazaar Perdana: Musa terima kata dua Pemuda PAS P.Pinang

PEMUDA PAS Pulau Pinang memberi kata dua kepada Datuk Musa Sheikh Fadzir berhubung dakwaan penyelewengan di Bazaar Perdana yang membabitkan 1072 pembeli lot kedai.

Jurucakapnya, Dzulfahmi Abu Bakar berkata, kira-kira 800 peniaga berkenaan adalah Melayu.

“Dia ada dua pilihan, sama ada berdiam diri dan terus menipu Melayu atau dedahkan perkara sebenar di sebalik skandal ini,” ujarnya yang juga Timbalan Lajnah Peguna dan Alam Sekitar, Dewan Pemuda PAS negeri.

Beliau berkata, projek tersebut yang terbengkalai saban tahun seolah-olah menjadi simbol pengkhianatan pemim Umno terhadap Melayu di negara berkenaan jika projek tersebut nyata didalangi oleh pemimpin parti perkauman berkenaan.

Beliau turut menasihatkan Musa supaya menghentikan sandiwara serta memperbodoh Melayu kononnya beliau bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu membawa perubahan di negeri berkenaan pada pilihan raya umum ke-13.

Projek terbengkalai itu sebenarnya dimajukan oleh Aseana dan Musa adalah sebahagian dari syarikat pemaju itu.-notakecil

 
1 Comment

Posted by on March 23, 2012 in Isu Semasa

 

Remaja hilang ketika mandi di pantai TG Bunga

GEORGE TOWN – Seorang remaja dilapor hilang ketika mandi di Pantai Tanjung Bungah di sini hari ini.

Afiq Ridha Ajib Roshidi, 19, dikatakan keluar memancing bersama empat lagi rakannya sebelum mandi di pantai itu pada pukul 11.30 pagi.

Rakan remaja itu, Yusri Md Yazid, 19, berkata mangsa yang pandai berenang tiba-tiba tenggelam setelah beberapa minit mandi di pantai itu.

“Dia mandi di tempat yang agak dalam sebelum tenggelam, tinggal tangan sahaja terkapai-kapai…saya ingatkan dia hanya bergurau, tidak sangka dia boleh hilang begitu sahaja,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, jurucakap bomba ketika dihubungi berkata operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.- Bernama

 

SIJIL HALAL:Pemuda PAS setuju langkah JAKIM

KUALA LUMPUR, 16 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyambut baik usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang akan mengenakan hukuman penjara dan denda mulai 1 Julai 2012 kepada pengusaha yang gagal mempamerkan sijil dan logo halal yang dikeluarkan jabatan itu.

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, tindakan itu wajar sebagai usaha mewujudkan kesedaran tinggi kepada pengusaha agar berusaha mendapatkan sijil dan logo halal dengan menepati piawaian yang telah ditetapkan.

“Penguatkuasaan ini penting bagi memastikan pengusaha makanan tidak bersikap sambil lewa dengan mengabaikan tahap halal makanan yang dijual mereka.

“Tindakan ini juga boleh mengembalikan tahap keyakinan umat Islam terhadap produk yang dijual serta premis makanan yang terdapat di negara ini. Dengan cara ini, kebersihan dan tahap halal sesuatu makanan dapat dipertingkatkan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Menurutnya lagi, isu halal dalam makanan yang dihidangkan sama ada berbentuk produk yang dijual dipasaraya-pasaraya ataupun di premis makanan adalah suatu isu yang amat sensitif pada umat Islam.

Umat Islam yang prihatin dan peka tidak sesekali mengizinkan tubuh mereka dimasuki oleh unsur yang haram, terutama dalam soal makanan.

Makanan yang haram akan menjadikan tubuh umat Islam diselaputi dengan perkara yang haram dan seterusnya boleh menyebabkan  generasi negara ini menjadi rosak akhlak dan aqidah mereka, kata Riduan.

“Justeru, amat penting soal halal dalam makanan dititkberatkan dan DPPM merasakan tindakan JAKIM untuk melaksanakan hukuman penjara dan denda kepada pengusaha yang gagal mendapatkan logo halal adalah tindakan yang wajar,” tegasnya.Harakahdaily

_____________________________________________________________________________

Editor: Pihak JAKIM mungkin sudah sampai masanya melayan kunjungan Lajnah Pengguna Pemuda PAS Malaysia dalam mengukuhkan lagi penguatkuasaan Sijil HALAL. Jangan terlalu banyak karenah,akuilah anda kekurangan kakitangan. Cara kerjasama mungkin kedua-dua pihak boleh berbincang..

 
 

Kontraktor Melayu Pulau Pinang sokong Kerajaan Negeri

GEORGETOWN, 15 Mac: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Pulau Pinang (PKMMPP) menyatakan sokongan di atas hasrat kerajaan negeri untuk membina empat projek infrastruktur yang dicadangkan.

Projek-projek infrastruktur itu ialah terowong bawah laut 6.5 km dari Gurney Drive ke Bagan Ajam (berdekatan dengan Butterworth), jalan 15 km yang akan menghubungkan Tanjung Bungah dengan Teluk Bahang, jalan pintas 5 km dari Gurney Drive ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan jalan pintas 5 km dari Bandar Baru Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.

“Kami sangat mengalu-alukan projek-projek tersebut kerana ia bertujuan untuk mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang serta akan memacu pembangunan ekonomi negeri, terutamanya di SPU,” kata Timbalan Yang Dipertua PKMMPP, Datuk Izham Omar Merican.

Beliau berkata, projek-projek yang dicadangkan itu akan membawa faedah kepada semua rakyat SPU termasuk masyarakat Melayu yang merupakan majoriti di SPU.

Justeru, katanya terowong bawah laut yang menghubungkan Bagan Ajam dengan Gurney Drive akan menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi yang kritikal.

Tambahnya, terowong tersebut akan melengkapkan kesalinghubungan di antara Seberang Perai dan Pulau Pinang, kerana Jambatan Pertama berada di SPT manakala Jambatan Kedua akan berada di SPS.

“Hanya SPU masih tidak mempunyai hubungan dengan pulau,” katanya di dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, terowong bawah laut itu akan sekaligus memastikan bahawa orang Melayu di SPU akan dapat menikmati pembangunan yang setara dengan kawasan-kawasan lain di Pulau Pinang.

“Tambahan pula, kami yakin bahawa projek-projek ini, khususnya terowong bawah laut, tidak akan mendatangkan apa-apa kesan yang mudarat kepada penghuni-penghuni kawasan-kawasan yang terbabit. Malah, kami rasa ia akan membawa kemajuan kepada mereka,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, pihaknya juga juga bersetuju dan yakin dengan janji kerajaan negeri bahawa semua prosedur dan peraturan yang berkenaan akan dituruti, seperti proses rundingan umum untuk rekabentuk, pemilihan laluan dan juga kajian kesan alam sekitar.

Beliau berkata, semua proses-proses ini hendaklah dipersetujui terdahulu sebelum kelangsungan projek-projek tersebut.

Menurutnya, sekiranya terdapat masalah yang tampil semasa proses-proses tersebut, dan jika projek-projek tersebut didapati kurang sesuai, maka ia tidak akan dilaksanakan.

“Sungguhpun begitu, kami yakin bahawa semua syarat-syarat dan keperluan yang ditetapkan akan dipatuhi dan diluluskan.

“Justeru, saya ingin menyatakan sekali lagi sokongan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Pulau Pinang ke atas projek-projek infrastruktur yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya lagi.

 
 

Andai saya seorang Jeneral perang PAS

Kolum Kesatuan Fikrah adalah wadah untuk rakyat memperlihatkan kepelbagaian idea daripada lapisan-lapisan pemimpin PAS, dari yang veteran ke pemuda dalam isu-isu hangat yang membelungi negara kini.

Mewakili PAS Pusat ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Ketua Penerangan PAS Pusat Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, suara ulama diwakili oleh Ketua Penerangan Dewan Ulama Ustaz Nik Muhammad Zawawi bin Hj Salleh manakala suara pemuda diwakili Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi.

Jika anda mempunyai sebarang soalan yang ingin ditanyakan kepada Abang Mat, Ustaz Tuan, Ustaz Nik Zawawi dan Ustaz Nasrudin, sila email kepada hdaily.kesatuan.fikrah@gmail.com

Minggu ini, mereka berempat berbicara dengan soalan berikut:

Andai anda seorang Jeneral Perang PAS untuk PRU-13, apakah yang anda lakukan untuk menyiap-rapikan persediaan pasukan menghadapi perang. Apakah nilai yang terpenting untuk seorang jeneral?

Mohamad Sabu

Sebagai jeneral perang PRU13, saya akan pastikan di sudut jiwa, persediaan berada pada keyakinan paling tinggi dan juga segala peralatan yang secukupnya dapat dibekalkan.

Saya juga akan pastikan strategi dan taktik yang tepat digunakan untuk hadapi lawan. Selain itu, saya akan pastikan sumber kewangan yang cukup sebagai enjin penggerak, bukan punca membawa permasalahan dan meniup semangat nilai jihad yang tinggi di kalangan petugas.

Nilai terpenting seorang jeneral ialah beliau mesti yakin terhadap diri sendiri dan yakin dengan dasar dan matlamat perjuangan parti atau kumpulannya.

Tuan Ibrahim Tuan Man

Pilihanraya adalah peperangan di era kita. Ketentuan kemenangan dalam medan perang ialah kemenangan mengalahkan musuh, sedang kemenangan PRU diukur sejauh mana rakyat (pengundi) menyokong parti yang kita sertai.

Sebagai jeneral perang kita perlu melakukan serangan maklumat bagi membina dan mengubah rakyat untuk menyokong parti yang kita dokong.

Sebagai jeneral, penyusunan jentera perang mesti bersifat menyerang musuh, strategi bertahan atau sekadar menjawab serangan musuh tidak akan mencapai kejayaan yang dihasratkan.

Pada zaman dulu, strategi yang baik dan tepat tidak akan dimanfaatkan sekiranya jeneral tidak dapat memastikan sumber makanan dan bekalan senjata yang mencukupi untuk menghadapi tempoh peperangan.

Pada zaman ini, peperangan di PRU13 memerlukan dana. Seseorang jeneral harus berikhtiar mencari dana secukupnya senantiasa untuk memastikan kelicinan fungsi mesin perangnya.

Jeneral perlu juga memastikan seluruh sayap parti mesti memberi fokus kepada sasaran utama, bergerak dengan selari dalam satu arah. Dalam mencapai kemenangan asas utama ialah meletakkan sasaran yang perlu dicapai dengan kemampuan yang ada, dan memanfaatkan kelemahan musuh.

Segala kelemahan unit yang ada perlu dikenalpasti dan diperkemaskan segera oleh jeneral agar tidak ditembusi oleh musuh.

Seseorang jeneral tidak harus buntu bilamana menghadapi sebarang kekurangan. Segalanya – cuaca, masa, tempat, media lawan, lawan kita – boleh dimanfaatkan sebagai senjata perang menggunakan kebijaksaan.

Nasrudin Hassan

Dalam konteks negara kita yang mengamalkan sistem demokrasi berpilihanraya, maka istilah “perang” boleh saya takwilkan sebagai pertarungan atau persaingan mendepani lawan politik untuk memenangi pilihanraya.

Tentu sahaja apabila kita bertarung atau ber”perang” maka kita mendambakan kemenangan. Bertolak dari premis inilah kita mesti terlebih dahulu mempersiapkan pasukan kita dengan pra syarat kemenangan dalam 2 kategori kekuatan dan persediaan.

Kategori pertama ialah kekuatan dan persediaan dalaman.

a] Justeru kemenangan adalah keputusan dan anugerah mutlak daripada Allah swt. , selayaknya bagi setiap anggota pasukan bermula dari saff kepimpinannya hinggalah kepada ahli biasa membina hubungan baik dan erat dengan Allah swt Tuhan yang Maha Perkasa lagi Maha Bijak. [ Taqarrub Ilallah ]

b] Motivasi untuk memiliki jiwa yang optimis dan minda yang positif terhadap pahit getir perjuangan serta cabaran dan rintangan yang bakal ditempuh agar tidak putus asa, kecewa, resah dan gelisah.

c] Pemantapan Ilmu dan penguasaan manhaj perjuangan. Memahami dan menghayati matlamat, objektif dan hala tuju perjuangan yang didokong. Juga berupaya memiliki maklumat mengenai strategi dan gerak operasi pihak lawan.

Kategori kedua ialah kekuatan dan persediaan  luaran.

a] Keupayaan fizikal  [ jumlah tenaga siap bertugas ] dan material  [ jumlah dana terkumpul ] yang munasabah berbanding saiz medan pertarungan dan persaingan yang bakal ditempuh.

b] Penyatuan saff  perjuangan berteraskan semangat ukhuwwah fillah dan Pengukuhan organisasinya yang menepati standard piawaian sebuah pengurusan, pentadbiran dan disiplin atau akhlak berjamaah yang baik.

c] Memiliki jaringan kerja rasmi atau tidak dalam lapangan yang berbagai dengan semua pihak dan hubungan baik dengan pelbagai saluran untuk menerima maklumat dan menghantarnya pula kepada pihak yang memerlukan iaitu ahli dan pengundi atau masyarakat awam.

d] Merakyatkan pasukan [parti] , kepimpinan, ahli dan aktivitinya agar perjuangan ini rasa dimiliki oleh semua.

e] Membina minda negarawan pada anggota parti  [pemimpin dan ahli ] lantas keluar dari kepompong fikir sebagai pembangkang. Sebaliknya persiapkan mental , fizikal dan spiritual sebagai kerajaan menanti [government in waiting]

Sementara nilai terpenting bagi seorang general yang mengepalai pasukan atau parti ini ialah Kepimpinan  Yang Terarah iaitu kepimpinan yang bukan sahaja mampu mencipta gelombang perubahan tetapi berkeupayaan memimpin dan mengarah perubahan tersebut agar menepati matlamat, objektif  dan road map perjuangan.

Nik Zawawi Salleh

Sebagai jeneral, saya akan fokus kepada persiapan terpenting iaitu jentera kempen yang hebat dan berwibawa untuk menarik simpati pengundi.

Pada masa yang sama, saya akan memastikan pasukan saya mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk membiayai perang PRU13.

Saya juga akan mengeluarkan pelan taktik menyerang terakhir yang bijak dan memastikan maklumat rahsia terakhir digunakan secara bijak secara tepat dari segi masanya untuk menumbangkan musuh.

Nilai terpenting yang perlu ada pada seseorang general pada PRU- 13 ialah kebijaksaannya untuk menarik musuh dan bukan semata-matanya menyerang musuh.sumber:harakahdaily

 

CAP gesa Haramkan lolipop Pendafluor

Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa Kementerian Kesihatan supaya mengharamkan segera penjualan lolipop pendafluor (fluorescent lollipops) memandangkan ia  mengandungi bahan-bahan bertoksik.

Dalam satu tinjauan yang dijalankan, CAP mendapati lolipop pendafluor amat digemari oleh kanak-kanak. Lolipop ini menarik perhatian kanak-kanak kerana ia terlekat pada batang plastik yang bersinar. Beberapa orang kanak-kanak yang ditemui berkata kadangkala mereka menyimpan batang tersebut dan menggunakannya untuk tujuan lain. Batang pendafluor itu mengandungi bahan-bahan kimia bertoksik yang boleh ditelan oleh kanak-kanak jika kimia cecair dalam batang itu merembes keluar.

Lolipop pendafluor boleh dibeli dalam kotak berisi 24 batang dengan pelbagai warna pada harga RM6.00 sekotak. Vendor menjualnya kepada kanak-kanak dengan harga 40 sen sebatang. Walaupun tidak diketahui negara asalnya, seorang pemborong memberitahu kami lolipop itu datang dari China. Pada kotaknya terpampang logo Halal yang tidak diluluskan dan mempunyai nama sebuah syarikat.

Selain terdapat di pasar raya mini, lolipop tersebut turut dijual oleh vendor di hadapan sekolah. Kami percaya ia dijual di seluruh negara.

Ujian-ujian yang dijalankan oleh Institut Kebangsaan bagi Menguji Kebersihan dan Keselamatan Makanan di bawah Kementerian Kesihatan Vietnam menunjukkan batang plastik lolipop berkenaan  mengandungi ftalat dan Poly aromatic carbon (PAH), di mana ftalat bertindak sebagai pelarut untuk PAH. Gabungan kedua-dua bahan kimia tersebut menimbulkan tindak balas oksigenan, menghasilkan sinaran cahaya yang menarik pada batang tersebut.

PAH pada hakikatnya merupakan sejenis bahan kimia yang amat toksik, biasanya digunakan hanya untuk tujuan industri seperti mencairkan cat. Ia boleh menyebabkan kanser atau mutasi gen dalam manusia.

Sehubungan dengan keracunan lolipop pendafluor, Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa Kementerian Kesihatan supaya mengharamkan segera penjualan dan pengedaran kandi seumpamanya. Kerajaan juga perlu menyita produk yang sudah berada di pasaran ini.

S.M. Mohamed Idris

Presiden CAP

_______________________________________________________________________

Editor: Mungkin Pihak Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Pemuda PAS Malaysia dan Pulau Pinang bekerjasama dengan CAP untuk mendedahkan banyak lagi perkara-perkara yang membahayakan kesihatan rakyat Malaysia memandangkan Pemuda PAS mempunyai ramai tenaga parti yang boleh memberi tenaga dalam membantu CAP mendedahkan perkara ini.