RSS

Penubuhan NGO adalah SIA-SIA jika hanya keruhkan politik

02 Feb

TERAS menyeru siapa sahaja dikalangan mereka yang tidak puas hati dengan masalah politik dalam parti dan menubuhkan NGO untuk memperjuangkan bangsa Melayu perlu memberi fokus lebih utama kepada masalah ketidakupayaan serta kelemahan penghayatan Islam dikalangan bangsa Melayu , bukan mengujudkan perpecahan politik yang lebih parah.

Mengenengahkan persoalan permusuhan dan konflik dalam medan politik tidak akan menambah jernihkan keadaaan orang Melayu malah akan mengkusutkan lagi persoalan yang sudah sedia rumit.

TERAS berpendapat sejak 54 tahun Negara ini merdeka, kedudukkan sosio-ekonomi dan budaya orang Melayu berada pada tahap yang maseh jauh dari memuaskan malah dalam keadaan kini, suasana nampaknya lebih parah lagi akibat kecuaian dan salahgunakuasa sekian lama oleh pemimpin-pemimpin elit Melayu itu sendiri.

NGO Melayu harus jujur untuk bertanya selama ini siapa yang membunuh pelbagai hak orang Melayu dan menjadikan sekularisme sebagai asas hidup bangsa , jika tidak pemimpin-pemimpin Melayu itu sendiri.

Peruntukan hak dan keistimewaan orang Melayu hanya menjadi pernyataan atas kertas dalam dokumen Perlembagaan Persekutuan tanpa banyak memberi makna dalam realiti sebenar kehidupan orang Melayu. Sebabnya ialah keghairahan pemimpin elit Melayu secara melampau untuk bertarung sesama sendiri.

Siapa yang telah melenyapkan tulisan jawi, memperkenalkan PPSMI yang menyebabkan terpinggirnya Bahasa Melayu, menghentikan bantuan per kapita SAR, menyalahgunakuasa dalam menganugerahkan projek kepada kroni, membudayakan rasuah dikalangan orang Melayu, mengurangkan tanah milik Melayu, mengadai aset tanah orang Melayu, membiarkan kerosakan akhlak anak Melayu, menyekat perlaksanaan amar ma’ruf nahi mungkar, terhakisnya pegangan aqidah Islam dikalangan orang Melayu, meluluskan lesen arak dan judi, memperkenalkan Budaya hidup Barat sekaligus menghakiskan budaya Islam pada orang Melayu sendiri, membiarkan bangsa Melayu tidak menghormati pandangan ulama, mematikan rasa cinta kepada agama, membiarkan hiburan menjadi kegilaan bangsa Melayu, menyekat undang-undang Islam dilaksanakan untuk orang Melayu, menghakis aset korporat orang Melayu ……?

Siapakah mereka yang cuai dan mengkhianatI amanah bangsa Melayu selama ini seperti yang disenaraikan semua diatas jika tidak pemimpin elit orang Melayu itu sendiri ?

Semua pihak orang Melayu yang selama ini telah dimandatkan untuk memegang jawatan dan kedudukan kekuasaan, tidak kira dalam jawatan pentadbiran agensi-agensi yang berkait langsung dengan bangsa Melayu, atau dalam pengurusan ekonomi atau kedudukan politik turut bertanggungjawab kepada krisis dan kelemahan bangsa Melayu yang sedang dialami.

Tidak ada pemimpin Melayu dalam bidang apapun yang boleh mendakwa diri bersih dari kesalahan akibat cuai ketika berada dikerusi kekuasaan.

Menimbulkan isu kepincangan sesudah tidak lagi memegang jawatan dengan menyerang dan menuding pihak lawan semata-mata, tanpa fakta yang dapat dipertahankan serta menjawab apa yang dilakukan selama berada di kerusi kekuasaan, bukan menunjukkan kematangan.

Ketika memegang jawatan semada dalam kerajaan atau diluar kerajaan, semua pemimpin Melayu tidak boleh hanya menyalahkan pihak lain bila melancarkan perang politik. Kelantangan menyerang bila tidak lagi berada di tampuk kuasa pasti dinilai rakyat. Harus ada kejujuran politik untuk mengaku kesilapan dan menampilkan penyelesaian konkrit demi masa depan Negara.

Berhujah dengan matang serta mengenengahkan model pratikal dan matang adalah jauh lebih diperlukan daripada bertarung untuk menjatuhkan lawan politik dengan fitnah kotor dan menanam rasa benci dan dendam kesumat terhadap seseorang seteru politik.

Berbeda dengan kebanyakan NGO bukan Melayu. Mereka cukup mampu menggerakkan komuniti mereka jauh lebih komited untuk membangun hidup berdikari dan berdaya memastikan tahap dan kualiti hidup kaum mereka lebih baik. Tumpuan mereka ialah pastikan komuniti mereka kukuh dalam aspek sosio-ekonomi, pendidikan dan budaya berorgansiasi, sementara menyuara tuntutan politik. Ini harus juga menjadikan NGO orang Melayu kritikal dan celik terhadap sifat bergantung dan sindrom selesa yang selama ini dipupuk oleh pemimpin-pemimpin bangsa Melayu sendiri demi mengekalkan kuasa.

TERAS sedar bahwa sememangnya cabaran dari pihak luar yang dihadapkan kepada bangsa Melayu perlu diwaspadai. Orang Melayu yang umumnya beragama Islam akan sentiasa berhadapan dengan cabaran dinafikan hak untuk melaksanakan Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Namun jika NGO Melayu juga terbelenggu dengan agenda politik merebut kuasa semata-mata dan berencana untuk menampilkan calon bebas untuk mengimbangan persaingan dalam pilihanraya, maka beban masalah yang selama ini dipikul ke atas bangsa Melayu akan terus menjadi semakin parah kerana tidak ada lagi ruang kerja, hatta dalam medan NGO, untuk membina bangsa selain dari hanya berpolitik semata-mata.

TERAS berharap semua NGO Melayu sedar bahawa sudah cukup malah sudah terlalu berlebihan orang Melayu disogokkan dengan politik persaingan yang berpanjangan. Untuk berpolitik dengan menawarkan calon bebas dalam pilihanraya atas nama NGO akan hanya menghilangkan kredibiliti NGO itu sendiri. Walhasil kekeruhan politik di kalangan orang Melayu akan lebih parah.

Cukuplah parti politik bersaing dalam gelanggang politik pilihanraya. Janganlah NGO pula terheret dalam agenda yang sama sehingga hilang fokus kepada kerja membebaskan orang Melayu dari masalah yang lebih asas iaitu terhakisnya orang Melayu dari penghayatan Islam akibat sekularisasi dan terbelenggu dalam budaya feudal yang berpanjangan.

Sedangkan satu-satunya jalan keluar orang Melayu dari krisis yang ada ialah kembali kepada Islam sepenuhnya dan menolakkan budaya hidup sekular Barat. Inilah medan kerja NGO Melayu yang jauh lebih utama.

TERAS mendapati dengan keghairahan untuk saling menyerang dan menimbulkan satu lagi arus politik baru yang disebut sebagai arus ketiga dalam keadaan dan realiti politik Malaysia, akan menegangkan lagi keadaan yang sedia tegang.

Fokus harus ditumpu oleh NGO kepada mengangkat isu-isu asas dalam gerakerja membela nasib bangsa khususnya dan sesiapa sahaja rakyat yang tertindas umumnya .

Isu menuntut agar golongan terpinggir dibela, sekularisasi dibentaras, dasar yang sesuai dengan Islam dilaksanakan, budaya feudal dihapuskan, polisi negara mengenai model pembangunan disemak semula, pengurusan perbendaharaan negara dibersihkan dari penyelewengan, pengagihan kekayaan Negara diperbetulkan, kesenjangan jurang antara golongan kaya dan miskin diatasi, pembaziran dan salah perbelanjaan negara dibasmi.

Disamping itu NGO Melayu yang berasaskan Islam harus bermula dengan membina kekupayaan memprogramkan pembangunan anggotanya serta komunitinya dengan sahsiyah dan amal Islami serta membina momentum iaitu membebaskan orang Melayu dari budaya feudal dan segala natijah yang berurutan dengan budaya tersebut serta mengembalikan bangsa sepenuhnya kepada Islam seperti yang dituntut oleh Al Quran dan pedoman As Sunnah.

————————————–

Penulis adalah Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS).

 

sumber:Harakahdaily

 
Leave a comment

Posted by on February 2, 2012 in Isu Semasa

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: