RSS

bolehkah demonstrasi dalam Islam-jawapan dr ahmad abdul khalek

06 Jan

Ada seorang bertanya kepada saya mengenai masiirah (demonstrasi jalanan), adakah ia dibenarkan dalam Islam? Ada yang mengatakan ia sebagai bid’ah, tasyabuh (penyerupaan) kepada kafir, malah ada yang mengatakan bahawa orang yang gemar melakukan demonstrasi ini biasanya terdiri dari mereka yang suka

mencela Sahabat Nabi SAW, suka mencari barakah di tanah perkuburan, dipengaruhi khawarij serta tuduhan-tuduhan liar lainnya.

Jawapannya, sebagai seorang Muslim, kita tidak sepatutnya terlalu awal menjustifikasikan sesuatu perkara secara prasangka tanpa meneliti secara mendalam. Apatah lagi prasangka-prasangka itu berupa tuduhan. Fahamilah, ilmu pengetahuan akan terus berkembang. Jikapun berlaku kesilapan maka ia adalah kerana kekhilafan yang dimaafkan. Hal ini tentulah termasuk sebuah ijtihad yang dijanjikan oleh Allah akan pahalanya. Lalu, janganlah kita bersifat melulu melakukan tuduhan sesat, tohmahan jahat, atau label-label lain yang tidak selayaknya ditujukan kepada seorang Muslim.

Cubalah kita bersikap matang dan waras. Menilai topik ini di luar pengaruh politik yang membela kerajaan ataupun parti pembangkang. Tidak wajar kita bertegas menyatukan pendapat mengikut realiti amalan yang berlaku, hanya kepada produk-produk fatwa Kerajaan Arab Saudi, di mana kebanyakan ulama mereka bersepakat mengeluarkan fatwa larangan berhimpun tunjuk perasaan sekalipun tanda protes yang dilakukan demi menuntut keadilan pemerintah. Fatwa Ulama Saudi boleh sahaja kita jadikan rujukan, tetapi bukan bermakna ia mesti diselaraskan dan diamalkan di negara-negara lain.

Di mana-mana negara, rakyat melakukan demonstrasi setelah ia dilatarbelakangi oleh buntunya method dialog, dan selepas pelbagai cara nasihat digunakan tidak berkesan.Kita sedari demonstrasi kini sudah menjadi wasilah yang begitu meluas, juga gelanggang baru menyampaikan gagasan Islamik berbentuk pengerahan massa. Ia tidak sahaja dilakukan di negara-negara yang sedang bergolak, malah negara yang maju serta stabil ekonominya juga menggunakan kaedah yang sama menyatakan sesuatu protes terhadap kerajaan.

Amalan demonstrasi telah menjadi kayu pengukur kepada hasrat rakyat terhadap kebekuan penguasa menunaikan hak-hak mereka. Ini kerana, adakalanya media massa tidak memberikan khidmat kemaslahatan manusia lantara dikuasai oleh pihak-pihak tertentu. Maka media yang lebih bebas, media tidak terjajah dihasilkan oleh rakyat berbentuk demonstrasi jalanan.

Ketika Mesir dijajah oleh Perancis, pengarang kitab tafsir Al Manar, Al Imam Rashid Redha bersama para ulama Al Azhar telah bangkit melakukan demonstrasi supaya rakyat menyedari kewajiban mereka untuk mengeluarkan Perancis dari tanah air. Begitu juga gerakan Al Ikhwanul Muslimin pernah membangkitkan sensitiviti rakyat dengan amalan demonstrasi menentang kebiadaban Presiden Mesir, Gamal Abdul Nasser yang memeras hak-hak mereka.Pada waktu itu tiada seorang ulama-pun yang mudah-mudah melontarkan perkataan buruk dan kesat terhadap aktiviti berdemonstrasi. Mereka menyedari itulah (demonstrasi) satu-satunya wasilah untuk rakyat marhaen tidak berdaya mengajar pemerintah degil dan keras kepala.

Kaedah ada menyebut :

“Hukum segala sesuatu itu adalah harus pada perkara yang tiada dalil (dari sumber yang disepakati) tentang keharamannya”.

Malah kadang-kadang sesuatu perkara itu menjadi wajib, sekiranya tidak terdapat wasilah lain untuk mengubah kemungkaran yang berlaku, atau untuk mencapai sesuatu kebenaran, ataupun untuk menolak kezaliman yang berlaku.

“Jika suatu kewajiban tidak sempurna kecuali dengan hal itu, maka hal itu menjadi wajib hukumnya”.

Jika ada di antara mereka yang mengatakan ia ditegah kerana bid’ah (perkara baru yang diada-adakan), ia mungkin benar bid’ah dari sudut bahasa (lughah), tetapi bukanlah bid’ah yang dimaksudkan itu ditegah dari sudut syara’ kerana amalan demonstrasi tidak termasuk dari ibadah, bahkan ia adalah adat.

Allah Taala berfirman di dalam surah Al Anfal ayat 60 :

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya”.

Ayat ini menyebutkan secara jelas dan tegas penggunaan ‘kuda’ dalam peperangan. Lalu apakah adat di zaman ini, tetap akan ada orang Islam yang berperang melawan musuh dengan menggunakan kuda, hanya kerana ia telah dijelaskan secara zahir di dalam Al Quran?

Demonstrasi seperti yang sudah saya katakan hanya merupakan sebuah wasilah. Wasilah itu sifatnya berubah-ubah, dari seekor kuda menjadi sebuah gerabak infantri, dari dialog yang sewajarnya dilakukan penuh harmoni menjadi sebuah gerakan yang menzahirkan demonstrasi. Maka jika wasilah ini ditolak kerana dakwaan bid’ah yang difahaminya secara statik, atau dakwaan tiada asasnya dalam Islam, maka seharusnya Baginda Nabi S.A.W turut menolak penggunaan khandaq (parit) ketika perang Ahzab tahun ke-4 Hijrah. Ini kerana budaya pembinaan parit merupakan strategi perang yang asli dari negara Parsi, dan secara jelas dalam kitab sirah menyebut bahawa bangsa Arab tidak pernah mengenalnya.

Kaedah lain ada menyebut :

“(Hukum) bagi wasilah adalah hukum yang berhasil dari tujuan(ia dilakukan)”.

Maka, hukuman halal dan haramnya ‘demonstrasi’ sangat berkait dengan tujuan wasilah tersebut dilaksanakan. Sebagaimana sebilah pisau, ia dapat digunakan untuk memasak, tetapi ia juga boleh digunakan untuk merompak.

Begitulah demonstrasi. Jika motif (tujuan) demonstrasi adalah perkara maksiat maka menyertai perarakan tersebut juga maksiat. Contohnya, jika ada pihak menganjurkan demonstrasi mendesak supaya kerajaan membenarkan orang Islam murtad, hukum menyertainya haram. Kerana objektif yang haram menatijahkan keharaman wasilah yang digunakan.Jika objektif demonstrasi diharuskan syarak atau digalakkan syarak, contohnya bantahan terhadap kumpulan yang menghina Islam. Maka, ia diharuskan. Niat itulah yang menentukan hasil hukum perbuatannya.

Dari hal ini, kaedah lain yang mahsyur menyebut :

“Setiap perkara tergantung kepada tujuan mengerjakannya”.

Sekiranya demonstrasi tersebut dilaksanakan semata-mata untuk merealisasikan kebenaran serta menghapuskan mafsadah (keburukan), maka ia menjadi tindakan yang dituntut. Ibnu Abbas RA pernah meriwayatkan kisah ke-Islaman Umar RA. Menurut Ibnu Abbas R.A, setelah Umar mengisytiharkan dirinya memeluk Islam, Umar telah mengetuai satu saff dan Hamzah mengetuai satu lagi saff umat Islam menuju ke Kaabah. Mereka berteriak melaungkan takbir dengan kuat. Apabila orang-orang kafir Quraish melihat dua orang lelaki mulia ini, Umar dan Hamzah, lalu wajah mereka terus bermuram hitam dengan ke-Islaman mereka berdua [ Rujuk Kanzu Al Ummal Jilid/12 hlmn/247 dan Murqatul Mafatih Jilid/11 hlmn/192 ].

Manakala semasa peristiwa di Hudaibiyyah yang mahsyur di kitab-kitab sirah, Baginda Nabi SAW juga pernah meraih simpati daripada Al Hulais ibn Alqamah al Kanani, sekutu utama Quraish dari kabilah Al Ahabisy yang sangat memuliakan Kaabah dengan melakukan masiirah – ‘tunjuk perasaan’. Apabila Baginda SAW menyedari kedatangan Al Hulais ingin menemui Nabi untuk memastikan kebenaran bahawa umat Islam datang ke Makkah melakukan umrah bukannya berperang, maka Baginda-pun mengarahkan umat Islam supaya mengeluarkan binatang korban dan mempamerkannya (menunjukkan) kepada Al Hulais.

Apabila Al Hulais melihat keadaan binatang-binatang korban yang sudah lemah kerana terlalu lama dikurung, keadaan orang-orang Islam yang kusut-masai dengan pakaian ihram bertalbiah, Al Hulais mengeluh dan menyesali tindakan keterlaluan kaum Quraish. Kata Al Hulais, “Celaka orang-orang Quraish! Mereka (orang Islam) datang ke Makkah untuk melakukan umrah (bukan berperang)!

Dari hal itu Hulais mengetahui kejujuran Rasulullah S.A.W bersama kaumnya yang beriman bahawa mereka telah dianiya.

Hal Ini membuktikan Rasulullah SAW menggunakan cara – demo – ‘tunjuk perasaan’ untuk meyakinkan Al Hulais pada waktu itu yang mempunyai pengaruh kepimpinan di kalangan musyrikin Makkah bahawa umat Islam dianiaya oleh ‘berita palsu’ kaum Quraish. Begitulah cara Rasulullah SAW menentukan dan menetapkan jalan penyelesaian sebagai seorang Nabi, pemerintah dan hakim. Membanteras kezaliman dan kebatilan adalah kewajiban seluruh umat. Dan umat Islam harus mendukung setiap potensi kemaslahatan dengan cara-cara yang sesuai dan seiring gagasan Islam.

Oleh yang demikian saya cenderung mengatakan bahawa demonstrasi ‘tunjuk perasaan’ itu sebagai sebuah amalan yang harus digunakan demi mencapai tujuan-tujuan dakwah iaitu amar makruf nahi mungkar.

Wallahu ‘alam

Dr. Ahmad Abdul Khalek merupakan Pensyarah Islamic American University. Ph.D (Usul Feqh, Al Azhar). Laman web beliau boleh dilayari di http://www.abdulkhalek.com

 
 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: