RSS

JANGAN BIARKAN DIRI MUDAH DISENGAT- TG HJ ABD HADI AWANG

20 Dec

Antara bencana yang melanda umat Islam setelah jatuhnya Khilafah Othmaniyah di Turki pada awal abad lalu, bukan sahaja tanah air dan negeri mereka dijajah oleh golongan bukan Islam, tetapi yang lebih merbahaya daripada itu ialah apabila fikiran dan pemikiran mereka turut dijajah oleh fahaman, pemikiran ideologi dan teori bukan Islam. Kita melihat betapa kesannya penjajahan itu dirasai sehingga ke hari ini, walaupun sebahagian besar negeri umat Islam di Asia, di Afrika dan sebagainya telah mencapai kemerdekaan, kononnya penjajah telah pulang ke negara asal masing-masing dan pemerintahan bumi milik umat Islam dipimpin oleh orang-orang yang berlatar belakangkan agama Islam.

Kita dapat melihat betapa penyelesaian-penyelesaian yang tidak bersifat islamik diamalkan berpuluh-puluh tahun dalam negara umat Islam, masih lagi tidak kembali kepada Islam dengan cara yang bersungguh-sungguh dan sempurna serta menunjukkan keyakinan dan kepercayaan kepada Islam. Bukan sahaja ia tidak boleh menyelesaikan masalah-masalah yang dipusakai dari zaman penjajahan bukan Islam, tetapi ditambah dengan masalah-masalah baharu. Semuanya menandakan betapa kebatilan ideologi ciptaan manusia dan betapa tidak benarnya ajaran yang direka manusia, sama ada yang berbentuk undang-undang, ekonomi, pentadbiran atau seumpamanya yang merupakan undang-undang dan sistem yang tidak boleh melepaskan diri dari sifat kelemahan manusia. Manusia yang mengadakan peraturan-peratuaran dan cara-cara yang tersendiri dalam mengendalikan urusan ini adalah melakukan saatu penyelewangan daripada agama Allah. Biarlah umat yang bukan Islam melakukan penyelewengan itu. Apa yang menjadi masalah ialah orang yang mengaku diri mereka sebagai orang-orang Islam, turut sama dengan melakukan penyelewangan yang berlaku dalam masyarakat, lalu diamalkan di dalam negara umat Islam, maka berlakulah penyelewengan demi penyelewengan. Kita dapat melihat umat Islam masih berada dalam keadaan yang cukup lemah, kerana dipengaruhi oleh musuh-musuh yang bukan Islam dan masih boleh diperkotak-katikkan oelh musuh mereka. Biarkanlah orang-orang bukan Islam tercari-cari penyelesaian hidup mereka, tetapi yang menjadi masalah kenapa kita sebagai orang yang mengaku Islam dan telah diberi kebenaran oleh Allah, juga masih tercari-cari seperti mereka sedangkan kita memiliki Islam yang dikurniakan oleh Allah.

Kita membaca dan mendengar negara-negara Barat yang sebahagian besar penduduknya menganut agama Kristian telah beramal dengan agama itu mengikut kamahuan dan nafsu mereka. Kita juga melihat negara-negara barat telah meminda dan mengubah dasar negara mereka serta amalan-amalan yang dilakukan dari masa ke semasa. Begitu juga keadaan yang sama berlaku di negara beraliran kefahaman komunis yang menganut ajaran ediologi itu, menggunakan tabir besi supaya rahsia yang ada di dalam negara tidak sampai keluar diketahui umum. Kita melihat Rusia yang menganut ajaran komunis telah menyeleweng dari ajaran itu dan sudah meminda serta mencari jalan dan perkara baharu bagi menyelesaikan masalah. Itulah juga yang dihadapi oleh negara-negara lain yang menganut fahaman kapitalis dan sosialis.

Mengapa kita sebagai umat Islam masih meraba-raba dalam mencari kebenaran sedangkan kita sudah mempunyai kebenaran dari Allah Taala. Kita juga melihat bagaimana malapetaka dan bencana yang menimpa umat Islam iaitu perasaan tidak yakin, lemahnya iman dan pegangan akidah mereka terhadap Allah itu. Kita melihat mereka yang dipertanggungjawabkan unutk memimpin umat Islam ketika menyelesaikan masalah negara jika di ambil Islampun hanyalah sekadar sebahagiannya sahaja, tidak dengan cara bersungguh-sungguh serta tidak dengan cara yang menunjukkan keyakinan, hingga mereka memaksa Islam mengikut selera dan kemahuan mereka. Kita melihat sudah banyak badan-badan, jawatankuasa-jawatankuasa dan berbagai-bagai lagi yang dibentuk dan ditubuhkan kononnya untuk mengkaji Islam, tetapi pada hakikatnya mengkaji mana yang dapat disesuaikan dengan selera dan kemahuan mereka.

Tidakkah Allah telah menyatakan bahawa beriman dengan sebahagian kitab (Al Quran) dan menolak sebahagian yang lain, adalah kerja-kerja syaitan dan tidakkah ia merupakan sebahagian daripada kekufuran? Allah menyifatkan bahawa beriman dengan sebahagian kitab dan tidak beriman dengan sebahagian yang lain adalah satu tindakan kekufuran, sebagaimana ditegaskan dalam ayat 85 surah Al Baqarah yang bermaksud, “Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab dan mengingkari akan sebahagian yang lain?” Sesungguhnya Allah Taala menganggap tidak beramal dengan seluruh ajaran Islam atau dengan kata lain mengambil sebahagian dan menolak sebahagian yang lain adalah kerja dan amalan syaitan yang terkutuk, sebagaimana yang disebut dalam ayat 208 surah Al Baqarah maksudnya, “Wahai orang-orang yang beriman! masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang dan nyata”.

Dan kita juga dapat melihat mereka yang tidak yakin untuk melaksanakan Islam sepenuhnya, iaitu masih teragak-agak dan melakukan penipuan terhadap umat Islam bahawa mereka juga mahu kepada Islam, tidak dapat menyembunyikan kelemahan mereka terhadap Islam, di mana mereka lebih yakin dan percaya kepada janji-janji syaitan daripada janji Allah yang memberi keberkatan dan kurniaan kepada siapa yang beramal dengan Islam. Marilah orang Islam, sedar dan insaf, mereka tidak harus disengat beberapa kali dari satu lubang kerana Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud, “Tidak wajar orang yang beriman itu disengat dua kali dari satu lubang”.

Sudah beberapa kali umat Islam disengat dari lubang yang sama, tetapi mereka masih tidak serik dan tidak mahu kembali kepada Islam. Mereka telah ditipu oleh penjajah yang bukan Islam dan ditipu oleh anak-anak penjajah yang diasuh dengan cara yang bukan Islam beberapa kali. Apakah mereka tidak sedar walaupun beberapa kali disengat dengan penipuan yang berlaku, dengan perkara-perkara yang melanda mereka dengan masalah yang ada dihadapan mereka? Adakah mereka tidak mempunyai perasaan, tidak mempunyai kemanisan iman dan tidak mempunyai kesedaran serta keinsafan yang sebenarnya untuk tunduk kepada Allah Taala? Firman Allah dalam ayat 83 surah Ali Imran yang bermaksud, “Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari agama Allah? Padahal kepadaNya lah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan dibumi, samada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadaNyalah mereka dikembalikan”. – TARBAWI

 
 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: