RSS

Monthly Archives: December 2011

AI SHI TERU… YA ALLAH..


Ai shi teru ialah perkataan Jepun yang bermaksud, “Aku cinta padamu…”. Dalam bahasa Inggeris ia disebut, “I love you”, dalam bahasa Arab, “Uhibbuka” (untuk lelaki) dan “Uhibbuki” (untuk wanita), manakala di dalam bahasa Mandarin ia disebut, “Wo ai ni”. Dan Perancis pula disebut, “Je t’aime”. Walaupun perkataan ini berlainan sebutannya, tetapi hakikatnya ia tetap mempunyai satu maksud iaitu aku cinta padamu. Persoalannya cinta kepada siapa?

Perkataan ‘Cinta’ adalah perkataan yang begitu popular di mana sahaja kita berada, kerana ia bukan perkataan yang terkandung dalam kamus moden tetapi telah lama wujud sejak dijadikannya Adam dan Hawa. Begitupun cinta dalam makna yang sebenar bukanlah nafsu, tetapi kepercayaan. Orang yang percaya kepada sesuatu perkara dengan tindakan dan bukti tanpa memerlukan apa-apa syarat, itulah cinta. Oleh itu , apabila kita menyatakan cinta kita kepada Allah, maka kita akan dapat mengesan tanda-tandanya.

Imam Ibnu Qayyim Al Jauziyyah menyebut dalam kitabnya, ‘Raudhatul Muhibbin wa Nuzhatil Mushtaqin’ bahawa beberapa tanda jatuh cinta yang dialami oleh kebanyakan manusia adalah;

“Banyak mengingati orang yang dicintai, membicarakan tentangnya dan sentiasa menyebut namanya…”

“Tunduk dan mengikut segala perintah orang yang dicintai dan mendahulukan segala keperluannya…”

“Memerhati kata-kata orang yang dicintai dan mendengarkannya…”

“Mencintai segala perkara yang dicintai oleh sang kekasih…”

Sekiranya diteliti, perkara yang disebut oleh Ibnu Qayyim itu memang benar. Apabila kita jatuh cinta, pasti kita membuat perkara-perkara tersebut. Dan sekiranya ia tidak ditangani dengan bijak, natijahnya akan mengundang perkara yang negatif dan mencelakakan manusia. Seorang isteri jika suami berpaling kasih pada yang lain, maka hari-hari yang berlalu terasa mendung, sesekali memanahkan petir kekecewaan, air mata tumpah bagai lelehan lahar gunung berapi, sedih bercampur dendam. Begitulah hakikat orang yang bercinta. Tidak mahu diduakan oleh sesiapa.

Sebenarnya tidak banyak perbezaan yang berlaku daripada segi prinsip apabila kita jatuh cinta kepada Allah kerana matlamat asalnya juga cinta. Ringkasnya, apabila kita jatuh cinta kepada Allah, kita pasti mengingatiNya, tunduk dan patuh pada semua perintahNya, memerhati dan menuruti segala peraturanNya dan mencintai segala perkara yang dicintai oleh Allah. Itu juga disebut antara tanda-tanda cinta kepada Allah.

Bukti Cinta Kepada Allah

Perkataan cinta adalah perkataan yang menuntut kita melaksanakan perkara yang kita ucapkan. Adakah cukup sekadar kita melafaskan perkataan cinta tanpa menunjukkan bukti kita benar-benar memaksudkannya? Pastinya tidak. Apabila kita melafazkan cinta, maka ia perlu dilaksanakan dengan perbuatan.

Sekiranya cinta kepada Allah, maka ia perlu disertai dengan bukti. Lalu bagaimana bukti itu dapat diperlihatkan?

“Sentiasa mengingati Allah berbanding mengingati manusia…”

Pasangan yang jatuh cinta sentiasa mengingati pasangannya. Hatinya tenteram dan bertaman bunga apabila terfikir mengenai sang kekasih. Begitu juga cinta kepada Allah. Manusia yang jatuh cinta dengan Allah sentiasa mengingati dan merindui Allah. Di dalam Surah Ar Ra’du ayat 28, Allah menjamin kepada manusia yang mengingatinya, “Dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang…”.

Ayat ini memberikan kefahaman kepada kita bahawa bila hati kita ingat dan terhubung dengan Allah, hati kita akan menjad tenang. Namun, dalam ayat lain, Allah menceritakan bahawa, “Orang yang beriman itu apabila disebut nama Allah, gementar hati mereka…” (Al Anfaal:2).

Pada kedua-dua ayat itu berlaku apa yang dikatakan sebagai “zikrullah” – mengingati Allah. Walaupun kedua-duanya berhasil zikrullah, satu ayat sebut hati menjadi tenang dan satu ayat lagi sebut hati menjadi gementar. Bagaimana boleh menjadi begitu? Apakah bila kita dengan Allah, adakala hati menjadi tenang dan adakalanya hati menjadi gementar?Sebenarnya bukanlah ia bermaksud hati orang beriman itu berubah-ubah dengan Tuhan. Hati mereka sebenarnya mempunyai dua keadaan pada masa yang sama, iaitu berkeadaan tenang dan juga berkeadaan gementar.

Yang dikatakan tenang itu ialah tenang dengan dunia, yakni hati mereka itu tidak tergugat dengan ujian kesusahan seperti kemiskinan, sakit dan cercaan manusia. Malah semua itu menjadi hiburan apabila hati sudah kuat berhubung dengan Allah Taala serta memahami maksud ujian tersebut.

Yang dikatakan gementar pula, ialah bila hati berhubung dengan Tuhan, timbul rasa cemas dengan dosa yang dilakukan kepadaNya. Rasa gementar itu juga boleh berhasil dari rasa kagum dengan kehebatan Allah Taala, setelah menyaksikan kehebatanNya mencipta alam dan cakerawala, lalu apabila ayat dibacakan kepadanya tiba-tiba hati manusia menjadi gementar. Hal ini pasti berlaku kepada orang beriman yang hatinya itu sentiasa mencintai Allah. Ketakutan bagi orang bercinta ialah putus cinta atau cinta tidak berbalas dan tidak dipedulikan.

Firman Allah Taala (bermaksud), “Sesungguhnya orang-orang berhati-hati kerana takut akan (azab) Tuhan mereka, dan orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Tuhan mereka, dan orang-orang yang tidak mempersekutukan Tuhan mereka (dengan sesuatu apapun), Dan orang-orang yang memberi apa yang mereka berikan sedang hati mereka gementar kerana mereka yakin akan kembali kepada Tuhan mereka”. (Al Mukminun:57-60).

Dari Aisyah R.A.h berkata, “Saya bertanya kepada Rasulullah tentang ayat ini (Al Mukminun:57-60). Apakah mereka orang-orang yang minum arak dan mencuri?

Baginda S.A.W menjawab, “Tidak wahai Humairah, tetapi mereka adalah orang-orang yang berpuasa, melaksanakan solat, bersedeqah, dan pada masa yang sama hati merasa takut amalan-amalan itu tidak diterima Allah. Mereka ini adalah orang-orang yang bersegera dalam amal kebaikan”.

Maka jaminan Allah kepada hati hambaNya yang mengingatiNya, rasa tenang dan rasa gementar. Dan realitinya orang bercinta akan menurut segala kemahuan sang kekasih walaupun mereka serba-serbi kekurangan pada masa itu. Ini bermakna, bukti seseorang itu mencintai Allah ialah kita mengikuti segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.

“Orang yang beriman itu kuat kecintaannya kepada Allah…” (Al Baqarah:165)

Maka, tanda orang bercinta kepada Allah ialah iman yang benar di dalam hati, iaitu mempercayaiNya dengan sesungguhnya tanpa lelah dan rungutan, tanpa ingkar dan pendustaan. Itulah cinta, cinta itu adalah percaya, bukannya nafsu.

Hakikatnya, mencintai Allah itu lebih mudah daripada mencintai manusia. Cinta manusia bersyarat, tetapi cinta Allah selamanya. Allah tidak mahukan harta kita kerana Allah pemberi rezeki. Bahkan kita yang dituntut supaya meminta sesuatu daripada Allah melalui doa. Oleh itu, tadahlah tangan kalian dan mengucapkan ai shi teru kepada Allah. Semoga dengan itu kita tergolong di kalangan hamba yang dicintai olehNya. Seorang pujangga memberitahu :

“Jika kamu berikan hatimu yang kudus kepada manusia, dia boleh melukai dan menghancurkannya. Tetapi sekiranya kamu berikan hatimu yang hancur luluh itu kepada Allah, Dia pasti akan memperbaikinya…”- tarbawi.my

Advertisements
 
 

JANGAN BIARKAN DIRI MUDAH DISENGAT- TG HJ ABD HADI AWANG

Antara bencana yang melanda umat Islam setelah jatuhnya Khilafah Othmaniyah di Turki pada awal abad lalu, bukan sahaja tanah air dan negeri mereka dijajah oleh golongan bukan Islam, tetapi yang lebih merbahaya daripada itu ialah apabila fikiran dan pemikiran mereka turut dijajah oleh fahaman, pemikiran ideologi dan teori bukan Islam. Kita melihat betapa kesannya penjajahan itu dirasai sehingga ke hari ini, walaupun sebahagian besar negeri umat Islam di Asia, di Afrika dan sebagainya telah mencapai kemerdekaan, kononnya penjajah telah pulang ke negara asal masing-masing dan pemerintahan bumi milik umat Islam dipimpin oleh orang-orang yang berlatar belakangkan agama Islam.

Kita dapat melihat betapa penyelesaian-penyelesaian yang tidak bersifat islamik diamalkan berpuluh-puluh tahun dalam negara umat Islam, masih lagi tidak kembali kepada Islam dengan cara yang bersungguh-sungguh dan sempurna serta menunjukkan keyakinan dan kepercayaan kepada Islam. Bukan sahaja ia tidak boleh menyelesaikan masalah-masalah yang dipusakai dari zaman penjajahan bukan Islam, tetapi ditambah dengan masalah-masalah baharu. Semuanya menandakan betapa kebatilan ideologi ciptaan manusia dan betapa tidak benarnya ajaran yang direka manusia, sama ada yang berbentuk undang-undang, ekonomi, pentadbiran atau seumpamanya yang merupakan undang-undang dan sistem yang tidak boleh melepaskan diri dari sifat kelemahan manusia. Manusia yang mengadakan peraturan-peratuaran dan cara-cara yang tersendiri dalam mengendalikan urusan ini adalah melakukan saatu penyelewangan daripada agama Allah. Biarlah umat yang bukan Islam melakukan penyelewengan itu. Apa yang menjadi masalah ialah orang yang mengaku diri mereka sebagai orang-orang Islam, turut sama dengan melakukan penyelewangan yang berlaku dalam masyarakat, lalu diamalkan di dalam negara umat Islam, maka berlakulah penyelewengan demi penyelewengan. Kita dapat melihat umat Islam masih berada dalam keadaan yang cukup lemah, kerana dipengaruhi oleh musuh-musuh yang bukan Islam dan masih boleh diperkotak-katikkan oelh musuh mereka. Biarkanlah orang-orang bukan Islam tercari-cari penyelesaian hidup mereka, tetapi yang menjadi masalah kenapa kita sebagai orang yang mengaku Islam dan telah diberi kebenaran oleh Allah, juga masih tercari-cari seperti mereka sedangkan kita memiliki Islam yang dikurniakan oleh Allah.

Kita membaca dan mendengar negara-negara Barat yang sebahagian besar penduduknya menganut agama Kristian telah beramal dengan agama itu mengikut kamahuan dan nafsu mereka. Kita juga melihat negara-negara barat telah meminda dan mengubah dasar negara mereka serta amalan-amalan yang dilakukan dari masa ke semasa. Begitu juga keadaan yang sama berlaku di negara beraliran kefahaman komunis yang menganut ajaran ediologi itu, menggunakan tabir besi supaya rahsia yang ada di dalam negara tidak sampai keluar diketahui umum. Kita melihat Rusia yang menganut ajaran komunis telah menyeleweng dari ajaran itu dan sudah meminda serta mencari jalan dan perkara baharu bagi menyelesaikan masalah. Itulah juga yang dihadapi oleh negara-negara lain yang menganut fahaman kapitalis dan sosialis.

Mengapa kita sebagai umat Islam masih meraba-raba dalam mencari kebenaran sedangkan kita sudah mempunyai kebenaran dari Allah Taala. Kita juga melihat bagaimana malapetaka dan bencana yang menimpa umat Islam iaitu perasaan tidak yakin, lemahnya iman dan pegangan akidah mereka terhadap Allah itu. Kita melihat mereka yang dipertanggungjawabkan unutk memimpin umat Islam ketika menyelesaikan masalah negara jika di ambil Islampun hanyalah sekadar sebahagiannya sahaja, tidak dengan cara bersungguh-sungguh serta tidak dengan cara yang menunjukkan keyakinan, hingga mereka memaksa Islam mengikut selera dan kemahuan mereka. Kita melihat sudah banyak badan-badan, jawatankuasa-jawatankuasa dan berbagai-bagai lagi yang dibentuk dan ditubuhkan kononnya untuk mengkaji Islam, tetapi pada hakikatnya mengkaji mana yang dapat disesuaikan dengan selera dan kemahuan mereka.

Tidakkah Allah telah menyatakan bahawa beriman dengan sebahagian kitab (Al Quran) dan menolak sebahagian yang lain, adalah kerja-kerja syaitan dan tidakkah ia merupakan sebahagian daripada kekufuran? Allah menyifatkan bahawa beriman dengan sebahagian kitab dan tidak beriman dengan sebahagian yang lain adalah satu tindakan kekufuran, sebagaimana ditegaskan dalam ayat 85 surah Al Baqarah yang bermaksud, “Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab dan mengingkari akan sebahagian yang lain?” Sesungguhnya Allah Taala menganggap tidak beramal dengan seluruh ajaran Islam atau dengan kata lain mengambil sebahagian dan menolak sebahagian yang lain adalah kerja dan amalan syaitan yang terkutuk, sebagaimana yang disebut dalam ayat 208 surah Al Baqarah maksudnya, “Wahai orang-orang yang beriman! masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang dan nyata”.

Dan kita juga dapat melihat mereka yang tidak yakin untuk melaksanakan Islam sepenuhnya, iaitu masih teragak-agak dan melakukan penipuan terhadap umat Islam bahawa mereka juga mahu kepada Islam, tidak dapat menyembunyikan kelemahan mereka terhadap Islam, di mana mereka lebih yakin dan percaya kepada janji-janji syaitan daripada janji Allah yang memberi keberkatan dan kurniaan kepada siapa yang beramal dengan Islam. Marilah orang Islam, sedar dan insaf, mereka tidak harus disengat beberapa kali dari satu lubang kerana Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud, “Tidak wajar orang yang beriman itu disengat dua kali dari satu lubang”.

Sudah beberapa kali umat Islam disengat dari lubang yang sama, tetapi mereka masih tidak serik dan tidak mahu kembali kepada Islam. Mereka telah ditipu oleh penjajah yang bukan Islam dan ditipu oleh anak-anak penjajah yang diasuh dengan cara yang bukan Islam beberapa kali. Apakah mereka tidak sedar walaupun beberapa kali disengat dengan penipuan yang berlaku, dengan perkara-perkara yang melanda mereka dengan masalah yang ada dihadapan mereka? Adakah mereka tidak mempunyai perasaan, tidak mempunyai kemanisan iman dan tidak mempunyai kesedaran serta keinsafan yang sebenarnya untuk tunduk kepada Allah Taala? Firman Allah dalam ayat 83 surah Ali Imran yang bermaksud, “Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari agama Allah? Padahal kepadaNya lah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan dibumi, samada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadaNyalah mereka dikembalikan”. – TARBAWI

 
 

TAMPAS 2011