RSS

TIADA TAKTIK KOTOR DALAM MENCAPAI KEMENANGAN

12 Oct


Tindakan negatif dilakukan oleh generasi umat Islam hari ini bagi mencapai sesuatu impian untuk berjaya dalam cita-cita hidupnya, walaupun mungkin matlamat kejayaannya itu menyanggah cara atau teknik apa yang ingin dicapainya, bukanlah satu hal yang dibenarkan dalam Islam. Justeru Islam datang memberi teguran menerusi satu pendekatan yang amat popular dalam Usul Fiqh “matlamat tidak menghalalkan cara”. Kerakusan individu tertentu hari ini untuk berjaya sama ada dalam bidang politik, pemiagaan, keusahawanan, korporat dan sebagainya dengan menjatuhkan pihak lain telah menjadi fenomena yang menggusarkan banyak pihak Ini akibat tidak menyandarkan diri mereka dengan elemen keagamaan yang menjadi teras, pelindung daripada gejala yang haram.

“Matlamat tidak menghalalkan cara” adalah satu kaedah yang diperkenalkan oleh ilmuan-ilmuan mazhab sejak beberapa abad lalu, jadi ia bukan perkara yang tersirat, malah telah tersurat dalam lembaran-lembaran kitab agama yang mesti diketahui dan dipelajari oleh segenap individu Muslim. Kegagalan untuk memahami dan beramal dengannya adalah satu kesalahan yang akan dipertanggungjawab pada hari Kiamat.

Maka mana-mana individu Muslim yang tidak bersungguh untuk mendalami serta memahami aspek keagamaan yang wajib ke atasnya, maka dibimbangi termasuk himpunan golongan yang fasik yang akhirnya menghuni neraka Allah. Perkara ini telah ditegaskan Allah menerusi ayat 24 surah At Taubah maksudnya, “Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)”.

Pada hari ini ketika ramai individu Muslim tidak berusaha menghubungkan diri dengan ilmu-ilmu agama, maka mereka akan terdedah kepada bahaya yang disebut oleh Baginda menerusi hadisnya yang diriwayatkan oleh At Tabarani daripada Abi Bakrah maksudnya, “Jadilah kamu seorang yang alim, atau yang suka belajar, atau yang suka mendengar (ilmu-ilmu agama), atau menjadi golongan yang cinta kepada tiga golongan di atas, tetapi jangan kamu jadi golongan kelima”.

Individu Muslim yang tidak suka duduk dalam majlis ilmu akan sentiasa terbabit dalam kesalahan dan percanggahan ketara terhadap ajaran agama. Sudahlah hidupnya tidak berbakti atau berjasa kepada Islam melalui program dakwah, malah suka pula buat perkara-perkara yang boleh merosakkan gambaran Islam sebenar. Bagaimana boleh memperolehi syafaat Nabi Muhammad S.A.W pada hari kiamat.

Oleh sebab itu, ramai individu terjebak pada perkara matlamat tidak menghalalkan cara. Mungkin kita boleh bincangkan beberapa kategori perkara di atas dalam kesempatan yang terbatas ini.

1. Terlibat dalam rasuah untuk mendapatkan sesuatu projek

Hal ini berlaku dalam masyarakat umat Islam hari ini yang mengambil jalan pintas untuk berjaya dalam hidup, memberi dan menerima rasuah adalah satu perkara biasa pada hari ini, siapa yang beri lebih, maka dia berjaya mendapatkan tender dan sebagainya, ia bukan lagi suatu perkara yang boleh disembunyikan, banyak pihak bercakap mengenainya hatta di kedai-kedai kopi, namun tiada perasaan sensitiviti dalam diri umat Islam kerana jauh daripada nilai agama.

2. Mengekalkan kuasa dengan menipu

Ia biasa berlaku dalam proses pilihan raya dengan mengimport para pengundi hantu untuk memenangkan kawasan individu-individu penting dan pelbagai pendekatan lain yang dikira perlu dan munasabah. Tindakan seumpama itu boleh dianggap sebagai tindakan matlamat tidak menghalalkan cara.

3. Jatuh menjatuh untuk meraih kedudukan tertinggi

Ia juga sudah menjadi perkara biasa hingga dapat diterima dalam masyarakat, bukan sahaja masyarakat bandaran, malah masyarakat yang menghuni kawasan kampung dan pedalaman. Fitnah sudah menjadi darah daging sesetengah individu Muslim, mereka-reka lakonan yang dirakam dalam cakera padat dan disebarkan kepada umum adalah bertujuan untuk mematikan karier seseorang dan menjatuhkannya, malah mengaib serta memalukan orang lain sudah menjadi amalan biasa muslim hari ini.

4. Menipu untuk dapat kerja/ jawatan lebih baik

Ia boleh disifatkan kepada seorang pelajar peringkat universiti, di mana dia melakukan penipuan dalam menjawab soalan peperiksaan dengan meniru jawapan yang terselit dalam bajunya, hingga meraih kejayaan cemerlang dan ditawarkan pekerjaan dengan gaji yang lumayan. Sedangkan matlamamya untuk berjaya tetap diraihnya, tetapi cara untuk berjaya dengan meniru dalam peperiksaan adalah salah, selagi mana dia mendapat pendapatan dengan penipuan, selagi itulah dia makan sumber yang haram. Tidak kurang juga yang menipu agar dinaikkan pangkat oleh majikan, walaupun majikan tidak tahu, akan tetapi perbuataan penipuan itu boleh mengakibatkan rugi di akhirat.

5. Tutup kes dengan membunuh

Terdapat juga individu Muslim yang sanggup melakukan jenayah membunuh musuhnya kerana mahu menutup sesuatu kes, ia juga termasuk tintakan matlamat tidak menghalalkan cara. Apabila pandai berpolitik lebih sedikit, besar kemungkinan dia terlepas daripada hukuman, inilah adat dunia pada hari ini yang kuat terselamat dan lemah teraniaya.

6. Pecah amanah kerana mahu cepat kaya

Terdapat individu Muslim dengan gelaran haji kemudian diamanahkan oleh sesebuah syarikat seperti Tabung Haji, tetapi dia menyalah-gunakan kepercayaan yang telah diberikan ke atasnya dengan melakukan pecah amanah kerana mahu menjadi orang yang paling kaya tetapi dengan cara yang menyanggah matlamat ajaran agama Islam.

7. Ragut untuk jadi senang tetapi menyalahi agama

Berapa ramai di kalangan individu Muslim yang mengambil jalan mudah meragut atau mengambil hak orang lain dengan cara paksa hingga boleh mengakibatkan mangsa mati di tempat kejadian dan sebagainya. Walaupun matlamat peragut untuk senang, tetapi dia telah melakukan satu cara yang diharamkan agama, di akhirat nanti dia akan ditanya di hadapan mahkamah Allah di Padang Mahsyar.

8. Tipu untuk meraih sesuatu habuan dunia

Ia kebanyakannya melibatkan orang kahwin dua atau lebih, mereka sanggup melakukan penipuan dengan alsan tipu dalam perkara ini adalah sunnat, mereka berpegang kepada lagu ‘Madu Tiga’ iaitu mesti pandai membohong, mesti pandai temberang…kesemua itu berlaku akibat tidak belajar ilmu agama.

9. Membunuh ayah untuk segera mendapatkan harta pusaka

Terdapat anak-anak yang tidak sabar untuk mendapatkan harta pusaka, iaitu anak-anak yang tidak pernah diberikan pendidikan agama, ada di kalangan mereka ini mengupah orang agar melanggar ayahnya agar segera proses pengebumian dijalankan dan pembahagian harta di kalangan anak-anak.

10. Berlakon watak baik dalam filem, tapi sebenarnya tidak begitu

Kebanyakan para artis melakonkan watak baik seperti pendakwah, ustazah dan sebagainya dalam sesebuah filem, bertujuan untuk menyedarkan para penonton, tetapi pada hakikatnya di luar filem terkenal sebagai artis paling seksi, penderhaka kepada ibu bapa kandung, sedangkan tindakan itu tidak disukai Allah SWT seperti yang ditegaskan-Nya menemsi ayat 3 surah As Saf yang bermaksud, “Besar kemarahan Allah terhadap apa yang kamu cakap tetapi tidak dilakukan”.

Dan bermacam-macam lagi bentuk pendekatan tentang matlamat tidak menghalalkan cara, apa pun apabila seseorang itu menerima Islam, maka Islam akan membimbingnya ke jalan yang benar dan menyelamatkan pada hari kiamat. Dalam kesempatan yang terbatas ini, penulis ingin mengakhiri tulisan ini dengan mengajak para pembaca sekalian untuk memerhatikan senikata lagu yang kiranya boleh menyentuh sensitiviti pembaca jika Al-Quran dan Hadis tidak mendapat tempat di hati anda sekalian, iaitu lagu ‘Tak Seindah Wajah’ yang dinyanyikan oleh Tan Sri SM Salim :

Kusangka aur di pinggir tebing
Kiranya tebu di pinggir bibir
Kusangka jujur pancaran batin
Rupanya palsu penghias zahir

Kukira hatijiwa nurani
Suci seindah wajah terbayang
Kukira puji seikhlas budi
Kulupa lidah tidak bertulang

Di manis gula semut binasa
Kail berduri bersalut umpan
Di manis kata insan terlena
Kerana budi hamba terkorban

Inikah dia lakonan hidup
Di pentas dunia insan berpura
Tipu dan daya pencapai maksud
Budi dan harta merangkung noda

SUMBER: TARBAWI.NET

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: