RSS

LPF dan FINAS perlukan Panel Syariah yang aktif.

27 Sep

1. Sungguh menyedihkan ! Ramai pihak sangat kesal dengan kelemahan ketara yang berlaku dalam Lembaga Penapisan Filem [LPF] di bawah Kementerian Dalam Negeri [KDN] dan juga Perbadanan Kemajuan Filem Nasional [FINAS] di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan [KPKK] sehingga membenarkan filem-filem yang berbaur penghinaan kepada Islam diterbitkan untuk tontotan umum.

2. Filem terbaru yang mengandungi unsur menghina Islam adalah “Hantu Bonceng” yang diarahkan oleh Ahmad Idham Ahmad Nazri dengan lakonan oleh Mohd Razizan Abd Razak [Zizan RL]. Salah satu babak yang dilakonkan secara jelas menghina Rasulullah SAW apabila Zizan menyebut “Asyhadu anna Muhammadar Syaitan” yang membawa maksud “Aku naik saksi bahawa Muhammad itu Syaitan”.

3. Kalimah syahadah bukan perkataan yang boleh dijenakakan atau dipersenda sedemikian rupa justeru ia membawa kesan yang boleh menggugurkan syahadah walaupun ia sekadar lakonan. Sementelah pula filem yang menjadi tontonan umum ini akan mencetus kekeliruan dan gambaran yang salah masyarakat terhadap Islam. Lebih berisiko apabila kelak ia turut merosakkan aqidah masyarakat awam.

4. Dewan Pemuda PAS turut mempersoalkan, sekiranya benar wujud panel penapisan di dalam LPF ataupun diperingkat FINAS sendiri mengenai filem-filem yang bakal ditayangkan untuk tontonan umum mengapa masih wujud babak yang menimbulkan kontroversi ini ? apa yang ditapis selama ini ? penapis apa yang mereka pakai ? penapis tea ? atau penapis cendol yang berlubang besar ? sehingga masih banyak adegan yang “menyenakkan mata” dan mengganggu sensitiviti masyarakat, lolos menjadi paparan umum melalui filem yang telah diluluskan.

5. Lebih malang, pihak berkuasa agama seperti kaku dan kelu tidak tahu berbuat apa -apa meskipun berdepan dengan isu penghinaan terhadap Islam. Sedih sungguh kami dibuatnya. Apalah erti dan makna wujudnya pihak berkuasa agama ? sebelum ini, JAKIM seperti tiada kuasa dan tiada apa yang boleh dilakukan malah untuk menerima memorundum pun tidak berkeupayaan apabila tercetus isu penghinaan terhadap Islam dan syariatnya oleh Mak Cik Hajjah Sitt Al Wuzara.

6. Lambakan filem tahyul dan karut menerusi tontonan umum di kaca televisyen samaada melalui chanel RTM ataupun chanel swasta seperti Astro terus bermaharajalela tanpa sebarang tindakan berkesan oleh pihak berkuasa agama. Apa sudah jadi ? Apakah pihak berkuasa agama tidak menyedari perkara ini ? jika orang awam pun menyedari berlakunya perkara ini, bagaimana pihak berkuasa agama masih tidak menyedarinya ?

7. Kerajaan juga selayaknya serius melihat perkara ini. Jangan biarkan filem menjadi medium untuk menghina, mempersenda dan memperkecilkan Islam di dalam negara ini. Sebelum ini, peka benar kerajaan terhadap isu Kalimah Allah, Isu Gereja dan isu komunis yang tidak wujud. Kenapa dalam perkara ini pihak kerajaan dan jabatan Agama kelihatan seperti “mati pucuk” ? tidak tahu dan tidak berupaya bertindak selayaknya.

8. Dewan Pemuda PAS sangat khuatir sekiranya tidak ada satu garis pandu yang berlandaskan Syariat Islam menjadi rujukan kepada LPF dan FINAS, filem-filem yang lebih “luar biasa” akan dihasilkan dan mungkin diluluskan kerana keuntungan yang bakal diperolehi oleh pihak-pihak tertentu tanpa menimbang tara impak yang akan berlaku. Bukan sahaja kepada filem tempatan yang semakin hari semakin memperlihatkan kepada umum bagaimana hilangnya nilai seni, moral, adab serta adat ketimuran tetapi juga kepada filem luar [asing] yang mengundang kepada keruntuhan moral, akhlak, pemikiran dan budaya masyarakat kita.

9. Justeru, Dewan Pemuda PAS meminta pihak FINAS mahupun LPF untuk mewujudkan panel syariah yang berauthoriti sebagai lembaga penapisan yang tertinggi terutama dalam menapis cerita atau filem yang mempunyai kaitan dengan agama Islam. Selain itu, Dewan Pemuda PAS juga menyeru kepada mereka yang terlibat secara lansung di dalam industri ini seperti penerbit, pelakon dan penyiar untuk merujuk kepada alim ulamak seperti mufti atau pihak berkuasa Agama seperti Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia [JAKIM] terlebih dahulu sebelum menerbitkan sesebuah filem. Jangan apabila sudah wujudnya kontroversi baru mencari ulamak untuk melepaskan diri.

10. Dewan Pemuda PAS juga menyeru kepada para artis untuk meneliti dan membuat kajian terlebih dahulu mengenai skrip yang bakal dilakonkan oleh mereka. Sekiranya skrip tersebut mengandungi unsur-unsur yang dirasakan bertentangan dengan fitrah dan juga berpotensi untuk mencemarkan kemuliaan Islam maka bertanyalah kepada para ulamak . Perkara ini juga mesti dilakukan oleh pihak penerbit, pengarah mahupun pelakon agar tidak mewujudkan suasana kontroversi seperti ini.

Semoga industri filem negara terus maju dan berkembang ke serata dunia dengan membawa imej negara yang baik dan gemilang tanpa perlu mencetus elemen lucah, persendaan terhadap agama, tahyul dan perlecehan akhlak semata – mata untuk dijadikan tangkal pelaris filem di bioskop antarabangsa.

Nasrudin bin Hassan

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: